Jaringan Declan Rice dan Gabriel Jesus pada masa kecederaan membantu Arsenal untuk mencatat kemenangan menakjubkan 3-1 ke atas Manchester United di Stadium Emirates dalam satu perlawanan yang penuh dengan kejutan, lapor PA Media/dpa.

Naib juara Liga Perdana Inggeris tahun lalu itu menjadi tuan rumah kepada pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga pada petang Ahad ketika pasukan-pasukan tersebut mencuba untuk beraksi lebih baik berbanding permulaan tidak meyakinkan pada musim ini.

Marcus Rashford dengan cemerlang meletakkan United yang dibimbing Erik ten Hag di hadapan pada separuh masa pertama sebelum kapten Arsenal, Martin Odegaard menyamakan kedudukan 110 saat kemudian.

Perlawanan itu dilihat akan berakhir dengan keputusan seri selepas pemeriksaan VAR membatalkan sepakan penalti kepada Arsenal dan United dinafikan kemenangan apabila pemain gantian Alejandro Garnacho dikatakan ofsaid oleh VAR.

Namun Arsenal terus memberi tekanan kepada United dan hasilnya menerusi satu tendangan sudut telah menemui Rice yang melakukan rembatan sebelum bola membias terkena tumit Jonny Evans pada minit keenam masa kecederaan menewaskan penjaga gol, Andre Onana.

Arsenal yang terus mengasak kubu United akhirnya mendapat gol ketiga hasil pemain gantian Jesus sekali gus menambah semangat untuk anak buah Mikel Arteta.

- Bernama-PA Media/dpa