Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan di ranking lebih tinggi dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan persahabatan Tier 1 berdepan Syria di Chengdu, China hari ini.

Pasukan negara, di ranking 136, bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat negara di kedudukan ke-94 dunia itu.

Gol pasukan negara dijaringkan oleh Akhyar Rashid pada minit ke-51 dan Darren Lok pada minit ke-85.

Walaupun menguasai perlawanan pada separuh masa kedua, Harimau Malaya bagaimanapun tidak dapat menambah jaringan.

Syria pula berbekalkan dua gol awal–jaringan Mardik Mardikian (minit 12) dan Yassin Samia (minit 41) pada separuh masa pertama–untuk mengelak daripada dimalukan Malaysia.

Skuad kebangkaan selepas ini akan berdepan ujian lebih getir berdepan China lagi tiga hari.

Dua aksi persahabatan ini penting bagi pasukan negara dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula November ini dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Malaysia sebelum ini mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Malaysia mengalahkan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 Mac lepas, serta menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 pada Jun. 

Kesemua perlawanan berlangsung di tanah air, walaupun di dua negeri berbeza iaitu Johor dan Terengganu.