Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM kunci mulut pengganti ketua jurulatih Harimau Muda
Diterbitkan:  Sep 20, 2023 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung calon jurulatih baharu ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Timbalan Presidennya Datuk S Sivasundaram berkata sebarang pengumuman lanjut mengenai calon pengganti E Elavarasan yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Muda itu akan dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman.

“Sabar, pengumuman (pengganti Elavarasan) akan dilakukan Setiausaha Agung FAM dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan FAM di Petaling Jaya hari ini.

Isnin lepas, Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkaitan hala tuju pasukan Harimau Muda selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Noor Azman dalam satu kenyataan memaklumkan jurulatih berusia 61 tahun itu bersetuju kembali fokus kepada tanggungjawab asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS