Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal dipilih sebagai presiden baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dalam catatan di X, BAM memaklumkan ahli majlisnya sebulat suara bersetuju Tengku Zafrul menerajui badan induk itu, bagi menggantikan Norza Zakaria.

Sebelum ini dilaporkan Norza akan berundur daripada jawatan tertinggi badan itu pada hujung tahun ini.

“Garis masa terperinci akan dibincangkan secara dalaman dan diumumkan pada mesyuarat majlis seterusnya pada Disember 2023,” kata BAM menerusi catatan di X.

Sementara itu Utusan melaporkan perkara itu turut diumumkan secara rasmi oleh Norza sendiri selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM bersidang di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

“Saya harus menentukan kesinambungan dalam kepimpinan BAM, kita berhadapan dengan beberapa pemegang taruh yang penting antaranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan), para penaja dan lain lain lagi.

“Atas sebab itu, apa sahaja perubahan tidak perlu dilakukan secara drastik dan berhemah serta mendapat sokongan penuh Ahli Majlis.

“Di BAM, kita tidak pernah berdepan dengan krisis kepimpinan, dan kita teruskan tradisi itu, dan semua Ahli Majlis bersetuju dengan cadangan saya iaitu untuk memilih Tengku Zafrul,” jelas Norza.

Pelantikan Tengku Zafrul dijangka akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Agung BAM pada Disember.