Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KBS mahu kepimpinan baru BAM terus beri kerjasama kepada Jawatankuasa RTG
Diterbitkan:  Oct 15, 2023 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap sesiapa sahaja yang dilantik menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus memberi kerjasama erat kepada jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam persiapan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024. 

Menterinya Hannah Yeoh berkata dia tiada masalah dengan pemilihan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai presiden BAM kerana ia adalah hak persatuan sukan kebangsaan itu untuk membuat keputusan.

“Kami tidak masuk campur dalam pemilihan ahli jawatankuasa badan sukan masing-masing… siapa sahaja yang mereka pilih, Majlis Sukan Negara akan bekerjasama kerana paling penting adalah kebajikan atlet terjaga dan pembangunan sukan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan Huawei kepada 36 pemenang pingat Sukan Asia Hangzhou 2022 di Putrajaya.

Terdahulu, Presiden BAM, Mohamad Norza Zakaria mengumumkan ahli majlis badan itu hari ini sebulat suara bersetuju menamakan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu mereka namun berkata tarikh sebenar pelantikan itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis BAM Disember ini dan dijangkakan dimuktamadkan Januari depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS