Misi skuad remaja kebangsaan untuk memburu kemenangan pertama musnah, selepas ditewaskan New Zealand 2-3 pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023, di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Bharu, malam tadi.

New Zealand bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit keenam pada suku pertama, menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Aldred Luke.

Tidak menunggu lama, skuad Young Tigers melancarkan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan dengan pukulan penalti strok oleh Ketua Pasukan Muhamad Faris Harizan, seminit kemudian.

Bagaimanapun, pemain skuad diberi jolokan Black Sticks, meranapkan semangat tuan rumah apabila menggandakan jaringan hasil pukulan sudut penalti Cosslett Scott, pada minit ke-15.

Bersambung suku kedua, skuad kendalian Muhamad Amin Rahim dilihat kembali mengasak New Zealand yang disudahi gol menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Faris, pada minit ke-24.

Enggan mengalah, skuad kendalian Ford Aaron meraih jaringan ketiga pada suku ketiga menerusi gol padang Hickson James pada minit ke-33.

Keputusan kekal 2-3 sehingga tiupan wisel penamat, selepas tiada jaringan daripada kedua-dua pasukan pada suku keempat.

Terdahulu, perlawanan petang tadi menyaksikan juara bertahan India diikat Pakistan 3-3, manakala Australia menewaskan Great Britain 3-0.

Esok, Jerman dijadualkan bertemu Afrika Selatan, manakala Pakistan bertemu New Zealand, sementara Malaysia menentang India.

Kejohanan bawah 21 tahun edisi ke-11 itu bermula hari ini sehingga 4 Nov, disertai lapan negara terdiri iaitu Malaysia, Great Britain, India, Jerman, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan Pakistan.

- Bernama