Harimau Malaya meneruskan aksi cemerlang pada aksi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan mengatasi Taiwan 1-0, malam tadi.

Penyerang Sabah, Darren Lok menjaringkan gol tunggal Harimau Malaysia pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei.

Lok mengambil kesempatan setelah keadaan kelam-kabut di depan pintu gol Taiwan dengan menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-72.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama walaupun Harimau Malaya lebih banyak mengasak.

Akhyar Rashid mendapat peluang awal bagi meletakkan Harimau Malaya di hadapan pada minit ke-28, setelah berjaya memperdaya dua pertahanan Taiwan, tetapi percubaannya tersasar.

Peluang terbaik skuad negara hadir sekali lagi pada minit ke-40 menerusi rembatan voli Stuart Wilkin tapi diselamat penjaga gol Taiwan, Wen Chieh.

Harimau Malaya sekali lagi kecewa selepas percubaan Faisal Halim pada minit ke-43 pula sekadar singgah di tiang gol.

Malaysia kini mengumpul enam mata selepas menang dua perlawanan, terdahulu menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Bukit Jalil, 16 Nov lalu.

Harimau Malaya akan berdepan satu lagi ujian getir bertemu Oman pada 21 Mac 2024 nanti.