Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Menteri: Baik pulih padang Stadium Nasional tanpa kos

Tiada kos terlibat bagi membaik pulih permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak susulan konsert kumpulan Coldplay diadakan di sana pada Rabu lepas, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Yeoh berkata ini kerana terdapat tapak semaian berdekatan stadium berkenaan yang mempunyai rumput jenis Zeon Zoysia dan boleh terus digantikan jika permukaan padang rosak.

"Jadi bila ada rawatan dan pembaikan (terhadap permukaan padang), ia tak melibatkan kos kerana tapak semaian itu sudah wujud.

"Jadi jangan risau, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan pastikan padang sudah tersedia untuk perlawanan nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada Program ‘Train-the-Trainee’ bagi Pengarah Klinikal dan Atlet Sihat di Melaka hari ini.

Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, memuat naik gambar keadaan permukaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu yang kelihatan terjejas di beberapa bahagian menerusi Instagram Story baginda.

Meskipun Tunku Ismail memuat naik gambar berkenaan tanpa sebarang kapsyen, pengguna media sosial rata-rata meluahkan kekesalan dan ketidakpuasan hati melihat keadaan permukaan padang itu.

Rabu lepas, kira-kira 85,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert Coldplay.

Sebelum ini, permukaan padang stadium berkenaan menjadi buah mulut orang ramai kerana keadaannya yang tidak memuaskan ketika aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India pada bulan lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS