Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap agar kejayaan skuad lebuh raya wanita menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, dapat meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kembali memberikan peruntukan buat pasukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM Norazman Abu Samah berkata pihaknya pernah menerima peruntukan RM1.5 juta setahun untuk pasukan lebuh raya, namun ia diberhentikan selepas pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Beliau berkata walaupun skuad negara kemudian bangkit meraih pingat pada edisi-edisi seterusnya, namun bantuan kewangan itu tidak dikembalikan, malah mereka menerima bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) apabila diperlukan.

Justeru, PKBM berharap dana itu dikembalikan untuk melahirkan lebih ramai pelumba lelaki dan wanita dalam disiplin lebuh raya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, selain mempunyai kesinambungan bagi atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang sudah melepasi had umur 21 tahun.

“Acara lebuh raya ini di luar program MSN, bukan seperti trek, jadi MSN hanya bantu jika dirasakan perlu dan bila ada kes-kes tertentu. Kami memohon dan merayu agar peruntukan diberi itu balik agar kami dapat melahirkan lebih ramai lagi ke peringkat Olimpik.

“Buat masa ini, kami banyak mendapat bantuan daripada Majlis Sukan Negeri yang beri kerjasama baik. Contoh, untuk Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia pun, negeri yang tanggung kos untuk pelumba mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas gagal pada edisi 2011, skuad berbasikal lebuh raya berjaya meraih sebutir perak di edisi 2013 di Myanmar, dua emas dan tiga gangsa di Singapura 2015 serta dua emas, tiga perak dan sebutir gangsa di Kuala Lumpur 2017.

Skuad itu sekali lagi gagal meraih pingat pada edisi Filipina 2019, bagaimanapun berjaya bangkit dengan sebutir emas, dua perak dan dua gangsa di Vietnam 2021 serta satu emas, satu perak dan dua gangsa di edisi Kemboja 2023.

Pada Khamis lalu, PKBM mengumumkan Nur Aisyah Mohamad Zubir mewakili negara ke Olimpik, selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bahawa Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia ke acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki negara - Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa.

- Bernama