Malaysia menepati ramalan dengan menundukkan Mesir 4-1 pada aksi klasifikasi 9-16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, hari ini.
Kemenangan itu, menyaksikan Young Tigers melepasi halangan pertama dalam misi memburu tempat kesembilan JWC 2023, dengan mara ke perlawanan penentuan kedudukan 9-12 pada Rabu bertemu Belgium, yang membelasah Kanada 12-0.
Malaysia bermula garang dengan jaringan seawal minit kelapan, apabila Muhammad Harris Iskandar Osman meledak jaringan padang ,sebelum kapten pasukan Faris Harizan menggandakan kedudukan dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-16.
Bersambung babak kedua, usaha anak buah Muhamad Amin Rahim yang terus mengasak kubu skuad kendalian Moustafa Khali, berhasil memperoleh jaringan ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar pada minit ke-44.
Malaysia kemudian menambah derita Mesir menerusi pukulan sudut penalti dari Che Nur Aqirullah Che Mohd Khairuzi pada minit ke-50, namun kecuaian pada minit-minit akhir menyaksikan gawang negara dibolosi menerusi gol padang Basel Abdelmonem pada minit ke-59.
Mengulas mengenai perlawanan Muhammad Amin berkata ternyata tidak berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya, yang menurutnya mengamalkan sikap sambil lewa kerana terlalu yakin mampu mengatasi Mesir.
Beliau bekata perkara itu membawa padah kepada anak buahnya, yang sepatutnya mampu menghasilkan lebih banyak jaringan, selain sekadar menyudahkan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti yang diterima pada perlawanan tersebut.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi semua pemain tidak bermain dengan baik, mentaliti ambil mudah itu ada pada mereka. Secara keseluruhan banyak kesilapan mudah kita lakukan terutama pada pertahanan dan serangan.
“Kesilapan ini kita harus perhalusi dan perbetulkan secepat mungkin kerana lawan kita selepas ini Belgium, pasukan yang kuat, pemain perlu sedar ia bukan perlawanan yang mudah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.
Malaysia terpaksa beraksi dalam klasifikasi selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan menang 7-1 kepada Chile tetapi tewas 0-4 kepada Argentina dan 2-5 kepada Australia, manakala Belgium menang 4-0 menentang New Zealand namun tewas 3-5 kepada Belanda dan diikat 1-1 oleh Pakistan untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan D.
Sementara itu, Belgium mencatatkan kemenangan terbesar dalam edisi kali ini dengan berpesta gol 12-0 ke atas Kanada, sekali gus mengatasi kemenangan 10-0 yang dicatatkan Jerman ketika menentang Mesir dalam aksi Kumpulan B pada Jumaat.
Max Luyten beraksi cemerlang menjaringkan empat gol padang pada minit kedua, keempat, ke-10 dan ke-56, selain Hugo Labouchere menjaringkan pukulan penalti sudut pada minit ke-34, ke-35, dan ke-52 serta pukulan penalti minit ke-42, hatrik pukulan sudut penalti Lucas Balthazar (minit ke-20, ke-38 &,ke-58) dan jaringan padang Thomas Crols (minit ke-53).
Ketua Jurulatih Belgium Jeroen Baart berkata, kemenangan besar mereka pada hari ini, berpunca daripada kekecewaan anak buahnya yang masih tidak dapat menerima bahawa mereka gagal melayakkan diri ke suku akhir.
“Kami amat kecewa selepas perlawanan bertemu Pakistan, kerana saya rasa kami patut bermain di suku akhir, dan mungkin boleh bermain untuk pingat… Kami tiada perlawanan semalam, jadi kami sempat melawat Malaysia, pergi ke Batu Caves, lawat pelbagai perkara dan makan di luar hotel hanya untuk membolehkan kami fokus kepada hari ini.
“Saya bangga dengan pasukan saya, cara mereka kembali, walaupun kami lebih baik dari lawan (Kanada), tetapi kami juga jaringkan beberapa gol yang baik, bekerjasama. Kami teruja untuk perlawanan seterusnya, bertemu pasukan tuan rumah di hadapan penonton sendiri bukan suatu yang mudah,” katanya.
- Bernama
