Habuan menanti skuad hoki 5s negara
Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara bakal menerima habuan sewajarnya susulan kejayaan mereka mara ke pentas akhir edisi sulung kejohanan Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Subahan Kamal berkata pihaknya sudah mempertimbangkan perkara itu biarpun menyedari badan induk sukan hoki negara berdepan kewangan yang terhad.
"Saya akan pastikan apabila mereka pulang mesti dapat bayaran. Saya simpati kepada mereka ini kerana saya sendiri (MHC) kewangan terhad… kami banyak gunakan untuk skuad kebangsaan.
"Elaun latihan buat mereka pun sedih nak diperkatakan. Kadang-kadang minta kasut baru pun kita tak mampu nak belikan tapi mereka tidak pernah meminta," katanya dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini.
Subahan berkata jurulatih skuad 5s lelaki negara, Wallace Tan, sendiri menolak keperluan untuk dibayar gaji demi membimbing anak buahnya mempamerkan keputusan memberangsangkan di bumi Oman itu.
"Dia buat kerana nak bantu kami (MHC), tapi macam elaun makan kami berilah," katanya.
Awal pagi tadi, skuad 5s lelaki negara mara ke pentas akhir kejohanan itu selepas menewaskan Poland 4-3 di separuh akhir. Skuad negara akan berdepan Belanda pada malam ini.
Susulan keputusan memberangsangkan skuad 5s lelaki dan wanita di kejohanan berkenaan, Subahan berkata MHC akan cuba meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan untuk mewujudkan program sepenuh masa membabitkan skuad itu serta skuad hoki dalam dewan.
Program tersebut, katanya, bertujuan untuk mempersiapkan skuad hoki 5s dan skuad hoki dalam dewan bagi mengharungi pelbagai kejohanan pada masa akan datang.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/571679eb1b41fd5632e64311bf93a7b6.jpg)
