Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan.

Presidennya Subahan Kamal berkata skuad kebangsaan akan berwajah baru selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, lapor Berita Harian.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan.

"Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. 

“Kita akan bina semula pasukan baru selepas tamat saingan liga nanti," dia dipetik sebagai berkata ketika sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia juga berkata pemain akan kembali beraksi dengan kelab dalam saingan liga tidak lama lagi.

Sementara itu, Subahan juga berkata kontrak jurulatih juga ditamatkan.

Terdahulu skuad lelaki senior kebangsaan atau Speedy Tigers gagal layak ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas emas di Sukan Asia Hangzhou. 

Pasukan negara hanya menamatkan saingan di tempat keenam.

Beraksi di pusingan kelayakan di Oman, pasukan negara turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

Sementara itu, skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.