Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Malaysia tidak berhasrat menjadi tuan rumah kejohanan badminton Piala Thomas 2026.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata ketetapan tersebut sejajar dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebelum ini.

“Jawapan kami buat masa ini Malaysia tidak bercadang untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Thomas 2026 dan ini adalah sejajar dengan pendirian BAM yang tidak berhasrat untuk menganjurkan kejohanan berkenaan buat masa sekarang,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Adam Adli berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) ingin tahu jika Malaysia berhasrat untuk memohon menganjurkan Piala Thomas 2026 memandangkan tiada negara yang berminat untuk berbuat demikian.

Disember lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan berkata pihaknya tidak berhasrat untuk membuat bidaan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi menjadi tuan rumah saingan Piala Thomas/Uber 2026.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh, berkata badan induk itu akan membuat penilaian terlebih dahulu berhubung perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah saingan Piala Thomas/Uber yang dianggap sebagai Piala Dunia badminton itu sebanyak enam kali iaitu pada edisi 1970, 1984, 1988, 1992, 2000 dan 2010.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS