Skuad Harimau Malaya menerima tamparan menjelang aksi getir kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat minggu depan.

Hal itu kerana mereka berlepas tanpa ketua pasukan Matthew Davies yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

FAM mengesahkan, selain pemain yang mesra disapa Matt itu, Junior Eldstal juga tidak menyertai skuad berkenaan akibat kecederaan.

Keputusan itu dibuat selepas JDT menerusi satu surat rasmi kepada FAM memaklumkan bahawa kedua-dua pemain pertahanan itu mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada Khamis lalu.

“Justeru JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab.

"Laporan kecederaan dilampirkan dalam surat tersebut,” kata jurulatih, Kim Pan Gon hari ini.

Dengan ketiadaan Matt dan Junior, Pan Gon membawa 24 pemain bagi menggalas cabaran Malaysia menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada 22 Mac ini (2 pagi waktu Malaysia).

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1 pagi tadi.

Sementara itu pemain pertahanan kiri Daniel Ting berkata ketiadaan Matt merupakan satu kehilangan besar untuk pasukan dalam berhadapan perlawanan yang penting.

Namun dia percaya kekosongan itu memberikan peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan kebolehan mereka.

“Tentunya satu kehilangan besar, Matt ialah kapten pasukan dan tentunya anda mahu kapten berada bersama, namun kita mempunyai banyak pilihan dalam skuad.

"Ini satu peluang untuk sesiapa yang jurulatih letak pada kedudukan itu, mungkin saya akan isi peluang itu,” kata pemain Sabah FC berusia 32 tahun itu.

Daniel berkata dia pernah bermain di sebelah kanan sebelum ini dan bersedia untuk menyahut cabaran bermain di bahagian itu semula semasa menentang Oman.

“Jika itu yang jurulatih mahu saya lakukan, tiada masalah. Saya pernah bermain posisi itu sebelum ini.

"Saya rasakan ia bukan posisi biasa saya tetapi saya bersedia untuk lakukan apa sahaja yang perlu,” katanya.

Selepas di Muscat, Malaysia - yang berada di ranking ke-132 dunia - sekali lagi akan bertemu pasukan nombor 80 dunia itu di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac ini.

Kemudian, pasukan negara akan bertemu Kyrgyzstan pula di Bishkek (6 Jun) sebelum menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia kini menerajui saingan kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman di tempat kedua dan berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia menyasarkan untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali.

- Bernama