Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Isu padang jadi persoalan lagi lepas Oman, Malaysia tak dapat berlatih di SBNJ
Diterbitkan:  Mar 25, 2024 10:00 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)sekali lagi menjadi persoalan menjelang perlawanan pusingan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ini selepas kedua-dua pasukan tidak dapat menjalani latihan di stadium berkenaan, seperti lazimnya dilakukan sehari sebelum aksi sebenar.

Bernama memetik ketua jurulatih pasukan Oman, Jaroslav Silhavy sebagai berkata bahawa mereka dimaklumkan padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan bagi kedua-dua pasukan.

"Malangnya, kami menerima makluman mengenai cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan (padang) tidak akan bersedia dengan baik untuk perlawanan itu.

"Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Semalam kami dimaklumkan bahawa kami tidak akan berlatih di sana (Stadium Nasional) kerana padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan, untuk Malaysia ataupun Oman, situasi tidak bagus untuk kedua-dua pasukan," kata bekas ketua jurulatih Czech Republik yang membimbing Oman menewaskan Malaysia 2-0 di Muscat Jumaat lepas.

Pasukan kebangsaan dilaporkan menjalani latihan di Wisma FAM, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sebelum ini menyatakan kerisauan dengan keadaan padang selepas melakukan pemeriksaan bersama Presiden FAM Hamidin, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Hans Isaac dan kakitangan kejurulatihannya.

Pan Gon berkata dia tidak melihat keadaan terkini Stadium Nasional, namun telah dijanjikan oleh mereka yang terlibat bahawa padang itu akan sedia digunakan untuk perlawanan esok.

“Saya tidak lagi melihat padang, juruteknik hari itu menjanjikan kepada saya beliau akan berikan padang yang baik, kami perlukan padang yang baik, jadi kami harapkan esok akan dapat melihat padang yang bagus,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila stadium itu menjadi venue beberapa konsert, yang dikaitkan sebagai punca keadaan padang tidak memuaskan.

Kumpulan D menyaksikan Oman, Kyrgyzstan dan Malaysia berkongsi enam mata pada tiga kedudukan tertinggi kumpulan dengan perbezaan gol, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS