Pasukan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) Indonesia melakar sejarah tersendiri selepas berjaya melangkah ke saingan suku akhir Piala Asia B-23 2024 buat kali pertama.

Ia selepas anak buah Shin Tae-yong mempamerkan cemerlang dengan membelasah pasukan Jordan 4-1 dalam perlawanan ketiga kumpulan A, malam tadi.

Bermula tewas 0-2 berdepan Qatar, kemudian menang tipis 1-0 menentang Australia dan kejayaan menundukkan Jordan meletakkan skuad Garuda Muda di tangga kedua kumpulan A.

Tae-yong dilaporkan berkata, menjelang perlawanan malam tadi dia berpesan kepada barisan pemain supaya berkeyakinan dan melupakan kekalahan bertemu Qatar sebelumnya.

“Saya sekali lagi mengatakan kepada para pemain bahawa kita harus bermain dengan yakin.

“Saya katakan kepada mereka supaya melupakan perlawanan pertama berdepan Qatar, dan kita perlu teruskan usaha,” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Tambah jurulatih dari Korea Selatan itu, dia pastinya gembira dengan rekod baru dicipta pasukannya sekali gus menghadiahkan kejayaan itu kepada seluruh peminat bola sepak Indonesia.

“Saya sangat gembira berjaya melangkah ke suku akhir. Terima kasih saya ucapkan kepada para pemain.

“Saya ingin berkongsi kemenangan ini tidak hanya dengan pemain, tetapi juga kepada seluruh peminat pasukan kebangsaan Indonesia,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, kejayaan skuad B-23 Indonesia itu sekali gus mengatasi pasukan B-23 Malaysia yang gagal merekod sebarang kemenangan dalam dua perlawanan kumpulan D.

Ia selepas skuad bimbingan Juan Torres Garrido tewas  0-2 berdepan Uzbekistan dan 0-2 menentang Vietnam.

Peluang skuad Harimau Muda untuk melangkah ke suku akhir kian pudar dan nasibnya bergantung kepada keputusan perlawanan berdepan Kuwait dan nasib pasukan lain dalam kumpulan D.