Rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika dia menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor, di Shah Alam , petang semalam.
Dalam kejadian itu Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.
Menurut laporan polis yang dikongsikan di Instagram, dia menyedari mengenai kejadian itu selepas pulang ke rumah pada sebelah petang dan mendapati pintu depan dan belakangnya terbuka.

"Pada jam lebih kurang 9 malam semasa saya sampai di rumah saya dapati pintu pagar depan dan belakang telah terbuka.
Saya buat pemeriksaan dalam rumah dapati ada barang-barang yang telah hilang seperti sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport.
"Hasil pemeriksaan awal anggaran dan lain-lain kerugian saya tidak pasti, tujuan saya membuat laporan adalah untuk tindakan lanjut daripada pihak polis serta pihak yang berkenaan," menurut laporan polis yang dibuatnya malam tadi.
Tidak diketahui sama ada insiden itu berkaitan dengan serangan berterusan terhadap beberapa pemain bola sepak awal bulan ini.
Pada 2 Mei lalu, dua individu menyerang pemain sayap Terengganu FC Akhyar Rashid selepas dia pulang dari menjalani latihan.

Tiga hari kemudian, seorang lagi pemain Selangor FC Faisal Halim diserang dengan asid di sebuah pusat beli-belah. Dia melecur tahap empat.
Dalam satu lagi kejadian pada 7 Mei lalu, cermin depan kereta pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim dipecahkan ketika dia pulang dari latihan.
