Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Modul Kelab DNA Faisal Halim akan dijadikan contoh cungkil bakat baharu
Diterbitkan:  Jun 9, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim akan dijadikan model kepada kelab-kelab bola sepak tempatan lain di Pulau Pinang dalam usaha menghasilkan lebih ramai bakat muda sukan bola sepak seperti Faisal Halim.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mohamad Abdul Hamid berkata usaha itu akan dimulakan dalam masa terdekat dengan menggerakkan modul dan program di bawah kelab tersebut ke setiap daerah di negeri berkenaan.

"Saya difahamkan kelab ini telah diwujudkan sejak 10 tahun lepas...Faisal Halim yang kini merupakan pemain kebangsaan juga memulakan latihannya di sini, di bawah Kelab Bola Sepak DNA yang kini dikenali sebagai Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan klinik bola sepak dan kenduri kesyukuran untuk Faisal Halim di Mengkuang Titi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini yang turut dihadiri bapa pemain itu Abdul Halim Saad.

Menurutnya kelab itu kini mempunyai hampir 200 ahli terdiri daripada anak-anak muda berbakat.

Mohamad dalam pada itu mendoakan kesembuhan Faisal selain menggesa semua pihak menghentikan sebarang bentuk keganasan dalam sukan bola sepak.

Pada 5 Mei lepas, Faisal yang juga anak jati Mengkuang Titi melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS