Sekumpulan enam wakil rakyat kerajaan dan pembangkang hari ini menggesa kerajaan agar mengambil langkah proaktif bagi menangani budaya "hooliganisme" dalam bola sepak negara.

"Keganasan dalam sukan mesti dihentikan. Langkah proaktif wajar digerakkan oleh semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menangani budaya 'hooliganisme' dari terus menular dan merosakkan industri bola sepak negara," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Enam wakil rakyat tersebut ialah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (ahli parlimen Machang), Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh (Exco Melaka), Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda (senator), Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden (ahli parlimen Alor Setar), Exco Pulau Pinang daripada DAP Daniel Gooi Zi Sen dan Exco Selangor daripada PKR Mohd Najwan Halimi.

Gesaan mereka itu susulan serangan asid terhadap pemain Selangor FC dan Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim bulan lalu.

Faisal membuat penampilan pertama selepas sebulan menerima rawatan dalam satu sidang media Khamis lalu.

Lengan sebelah kiri Faisal dilihat masih berparut dan menggerutu susulan pembedahan yang terpaksa dijalaninya ekoran insiden itu.

Begitu juga dengan sebahagian muka dan kepalanya yang masih berkuping besar.

Enam wakil rakyat tersebut menyifatkan serangan itu sebagai titik hitam dalam dunia sukan negara, terutama bola sepak.

"Justeru, kami amat berharap agar pihak berkuasa akan bertindak tegas serta memastikan siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan terhadap insiden-insiden keganasan yang membabitkan atlet-atlet sukan negara.

"Insiden seumpama ini tidak sewajarnya dipandang remeh dan perlu ditangani menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas kerana ia berpotensi untuk berulang lagi pada masa akan datang," kata mereka.