Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Nicol David beri kata-kata semangat buat Pearly-Thinaah
Diterbitkan:  Aug 4, 2024 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Bekas ratu skuasy negara, Nicol Ann David menitipkan pesanan yang menyentuh hati buat beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M Thinaah.

Nicol rutu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pearly dan Thinaah kerana mempamerkan persembahan cemerlang meskipun tewas kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun dalam penentuan pingat Perak di Sukan Olimpik Paris semalam.

“Saya harap saya mampu untuk menyatakan sesuatu bagi menaikkan semangat kamu berdua, namun saya cukup memahami kekalahan memeritkan.

“Saya harap saya mampu memberi nasihat tapi saya tahu, ia tidak akan mampu mengubati kekecewaan yang kamu berdua rasai ketika ini. Saya nampak kesedihan itu di mata kamu sejurus perlawanan berakhir dan saya amat mengerti, peritnya rasa apabila ditewaskan," katanya menerusi Instagram.

Timbalan Chef de Mission Malaysia untuk Paris 2024 itu berkata, banyak pihak tidak memahami kesukaran yang terpaksa ditempuh dua pemain itu, apatah lagi kedua-duanya turut bergelut dengan masalah kecederaan dan kesihatan.

“Pertandingan separuh akhir itu amat dahsyat dan kamu telah mengerahkan segala kudrat dan kemahiran yang ada demi melangkahkan kaki ke peringkat akhir. Saya tahu apa rasanya bermain bermati-matian tetapi kamu masih bertahan dan berjuang hingga ke akhirnya,” tulis juara lapan kali berturut-turut skuasy Terbuka Dunia itu.

Jelas Nicol, Pearly dan Thinaah telah mengukir sejarah sebagai beregu wanita pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke pusingan separuh akhir di temasya Olimpik, walaupun berada di luar ranking Lapan Terbaik dunia.

“Kamu membuatkan pasangan nombor satu dunia gementar dan berjaya menempatkan diri di kedudukan keempat.

“Ia satu perjalanan yang amat indah, menakjubkan dan menjadi impian seluruh negara,” katanya.

Jelas Nicol, sikap terpuji Pearly dan Thinaah yang memeluk lawan sebaik perlawanan berakhir, mencerminkan keperibadian mereka sebagai ahli sukan sebenar.

Sementara itu, bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei turut menitipkan kata-kata semangat buat pemain beregu wanita itu.

Menurutnya, rakyat Malaysia dapat menyaksikan kesungguhan yang ditunjukkan kedua-dua pemain.

“Anda dua sudahpun berikan yang terbaik untuk negara. Kita semua ada mata boleh lihat, ada hati boleh rasa tungkus-lumus anda berdua, Pearly and Thinaah.

"Jangan berasa sedih. Malaysia ucapkan terima kasih kepada anda berdua," katanya.

Terdahulu, perjalanan Pearly dan Thinaah di Paris 2024 berakhir tanpa pingat selepas tewas 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dalam penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS