Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukma 2024 melabuh tirai malam ini
Diterbitkan:  Aug 24, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akan melabuhkan tirainya setelah 14 hari berlangsung dengan menyaksikan atlet muda bersaing bersama semangat juang yang tinggi untuk memburu kejayaan.

Upacara penutupan di Stadium Perpaduan di Kuching pada malam ini dijadual disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Persaingan bagi merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati Sukma selain juara keseluruhan temasya dwitahunan kebangsaan itu juga akan terjawab malam nanti.

Berdasarkan carta kutipan pingat setakat jam 10 malam tadi, Sarawak mendahului dengan 72 pingat emas, 52 perak dan 66 gangsa.

Wilayah Persekutuan pula mengekori rapat dengan 69 emas, 62 perak dan 68 gangsa manakala Selangor 51-61-50.

Upacara malam ini akan dihangatkan dengan persembahan pembukaan Sporty Dance melibatkan 230 pelajar sekolah rendah, selain persembahan kebudayaan Selangor selaku tuan rumah edisi 2026.

Selain itu, penyanyi terkemuka yang juga anak jati Sarawak, Bob Yusof, kumpulan De'Fam akan membuat persembahan manakala serta ratu rock Ella pula bakal mendendangkan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World.

Beberapa laluan menuju ke Stadium Perpaduan akan ditutup mulai jam 3 petang ini bagi memastikan kelancaran trafik.

Antaranya Bulatan Sesco, Bulatan Kesuma Resort, persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, Jalan Diplomatik, jalan masuk ke Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Jalan Stadium menuju ke simpang parkir awam.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan serta merancang perjalanan dengan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

Sumka 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Ia juga menghimpunkan lebih 12,000 atlet dan pegawai.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS