FAM jadi mangsa pembohongan Kim Pan Gon - Hamidin
Selepas sebulan akhirnya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin tampil mendedahkan "pembohongan" bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam usahanya untuk menamatkan kontrak.
Hamidin berkata, Pan Gon merayu kepadanya supaya "dilepaskan" FAM dan mendakwa dia ingin menamatkan kontrak kerana mempunyai masalah keluarga.
“Cerita ini pedih sebenarnya, sehingga perlawanan menentang Taiwan (Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia), Pan Gon masih bersama kita, selepas itu dia bercuti dua minggu dan tambah seminggu lagi.
“Selepas kembali dari bercuti dan tiga hari sebelum saya ke Mallorca, Sepanyol (sebelum Sukan Olimpik Paris 2024), Pan Gon setiap hari jumpa saya. Hari pertama saya tidak bagi keputusan dan hari kedua juga sama.
“Pada hari ketiga, dia datang merayu lagi seperti orang gila talak akhirnya terpaksa untuk melepaskannya selepas mengambil kira jasanya kepada pasukan kebangsaan biarpun sedar FAM akan jadi mangsa,” kata Hamidin seperti petik Utusan Malaysia.

Pada 16 Jul lalu, Pan gon meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.
Keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan itu diambil jurulatih dari Korea Selatan berkenaan atas sebab peribadi.
Pan gon menegaskan sepanjang tempoh berkenaan sudah banyak kejayaan dikecapi dan dia mengakui puas membawa pasukan negara dengan melakar pelbagai kejayaan.
Antara kejayaan manis dilakar Pan Gon adalah membawa pasukan negara untuk layak ke Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.
Sementara itu, Hamidin berkata apa yang mengecewakannya apabila mendapat tahu Pan Gon menyertai Ulsan HD selepas menamatkan kontrak dengan Harimau Malaya.
Kata Hamidin lagi, tindakan itu jelas membuktikan yang Pan Gon tidak profesional.
“Saya kecewa, FAM jadi mangsa dan dia dapat tawaran lebih lumayan. Perkara ini bukan salah FAM sebenarnya, Pan Gon itu sendiri saya yang pilih dengan sokongan exco FAM.
“FAM juga kecewa apabila Pan Gon mengeluarkan beberapa perkara yang tidak tepat semasa sidang akhbar seolah-olah mahu melepaskan dirinya sahaja,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/1e21354b78d2dce7f8fc28dd5c4c7c1a.jpg)
