Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tahniah Liek Hou kerana sudah jadi jutawan, kata Hannah
Diterbitkan:  Sep 3, 2024 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada pemain badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou yang kini sudah menjadi jutawan selepas merangkul pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik di Paris 2024, awal pagi tadi.

Katanya, di bawah insentif  Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), atlet negara yang memenangi pingat emas akan menerima ganjaran yang sama seperti mereka yang bertanding di Sukan Olimpik iaitu RM1 juta.

"Seperti Sukan Olimpik, pemenang pingat emas di Paralimpik akan mendapat RM1 juta dan jurulatih akan dapat 20 peratus daripada jumlah Shakam itu," kata Hannah.

"Ini adalah pingat emas kedua bagi Liek Hou jadi beliau sudah menjadi jutawan. Syabas dan dan tahniah kepada beliau,” katanya kepada media, hari ini..

Bagi seorang lagi pemain badminton, Muhammad Fareez Anuar, Yeoh berkata dia dan yang lain tidak sepatutnya berasa gusar kerana Sukan Paralimpik seterusnya akan diadakan di Los Angeles dalam tempoh empat tahun.

"Mereka masih muda dan LA28 sedang menunggu,”  tambahnya.

Fareez tewas 12-21, 21-14, 6-21 kepada warga Indonesia Suryo Nugroho pada separuh akhir, yang melenyapkan harapan untuk ke pertandingan akhir.

Yeoh juga berkata dia berasa teruja apabila mendengar lagu kebangsaan Negaraku dimainkan di Porte de La Chapelle Arena, Paris, semasa penyampaian pingat.

Sebelum ini, pasangan beregu lelaki terkemuka Malaysia Aaron Chia dan Soh Wooi Yik masing-masing dianugerahkan RM100,000 di bawah Shakam untuk kemenangan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Yeoh berkata kerajaan memutuskan untuk menggandakan ganjaran kepada RM100,000 setiap seorang, berbanding RM50,000 yang diberikan selepas pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kedua-dua mereka sama-sama berjuang. Buat masa ini, kami menganggap perkara ini mengikut kes dahulu (memberi RM100,000 setiap seorang). Ini kali kedua mereka membawa pingat (Sukan Olimpik) untuk negara jadi kami percaya adalah wajar untuk memberi  RM100,000 setiap seorang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS