Selepas kali terakhir muncul juara pada 2013, Malaysia berpeluang menamatkan kemarau 11 tahun apabila berdepan Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Pengendali skuad Harimau Malaya Pau Marti Vicente berkata ketika ini semua pemain bermotivasi tinggi untuk mencipta kemenangan sekali gus memberikan harapan baru kepada peminat serta penyokong sukan bola sepak tanah air.

"Pemain telah bersama untuk tempoh masa lama dan sudah mengenali antara satu sama lain, selain telah melalui banyak pengalaman bersama.

"Mereka layak untuk menjulang piala ini dan itulah yang membakar semangat saya sebagai jurulatih, iaitu untuk membimbing mereka mencapai kejayaan di Pestabola Merdeka kali ini.

“Walaupun sukar menjadi sempurna dalam bola sepak, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin mengatur jentera serangan dan pertahanan kerana lawan kami agak sukar.

"Malaysia perlu lebih mantap dan agresif apabila mempunyai peluang di depan gol,” katanya pada sidang media praperlawanan di Petaling Jaya hari ini.

Pau Marti Vicente

Walaupun menyedari pasukan negara menghadapi kesukaran ketika berdepan pasukan Timur Tengah yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal, Vicente yang juga bekas pembantu kepada Kim Pan-gon berkata anak buahnya sudah mempersiapkan diri dari segi taktikal dan juga mental.

“Dalam tempoh dua tahun lepas, kita telah berdepan lawan yang kuat sama seperti Lubnan. Kita telah berdepan Oman, Jordan dan Syria yang mempunyai gaya permainan sama serta pemain berkualiti.

“Kita belajar daripada itu, jadi kita perlu tunjukkan cara kita menyesuaikan diri dalam situasi ini.

"Kadangkala dalam permainan ini sukar untuk meramal apa yang boleh berlaku, tapi saya fikir, kita perlu bersedia dari segi taktikal dan mental,” katanya.

Perlu beri tumpuan

Malaysia tidak pernah memenangi sebarang perlawanan dalam enam pertemuan menentang pasukan Timur Tengah seperti Syria, Oman, Jordan dan Bahrain dalam pelbagai kejohanan.

Sementara itu, kapten pasukan kebangsaan Dion Cools berharap kehadiran penyokong di Stadium Merdeka malam esok akan bertambah sekali gus menyemarakkan lagi semangat pemain memburu kemenangan di laman sendiri.

“Saya sangat berharap kami mendapat sokongan padu daripada penyokong.

"Kami sebenarnya memerlukan mereka untuk memberikan tenaga tambahan. Kami berharap semua peminat akan datang menyokong pada hari Ahad, kerana kami sangat perlukan mereka,” katanya.

Cools berkata semua pemain hanya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan malam esok dan menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka biarpun pasukan lawan banyak mendapat maklumat mengenai Harimau Malaya.

Terdahulu, Malaysia yang pernah muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali, melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Filipina 2-1 manakala Lubnan mengejutkan Tajikistan 1-0.

Dalam perkembangan lain Vicente mengucapkan tahniah kepada Presiden FAM Hamidin Mohd Amin yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dan membawa gelaran Tan Sri.

Darjah kebesaran itu dianugerahkan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

- Bernama