WTE: Solusi Mampan Selangor Atasi Krisis Sampah
Rakyat Malaysia menghasilkan purata 1.17 kilogram sampah seorang setiap hari. Selangor sahaja menanggung hampir suku daripada jumlah itu, menjadikan krisis pengurusan sisa semakin mendesak. Projek loji Waste-to-Energy (WTE) kini menjadi fokus utama negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan yang kian tidak mampan.
Berbeza dengan negara maju seperti Singapura, Sweden dan Denmark, yang mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan kepada kurang daripada lima peratus, Malaysia bersama Indonesia dan Thailand masih bergantung kepada kaedah pelupusan terbuka (landfill).

“Dalam sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu, setiap peringkat memainkan peranan penting — bermula daripada pembuangan di rumah, penyimpanan, pengumpulan, pemindahan, sehinggalah ke pelupusan akhir. Di sepanjang proses ini, pelbagai kaedah digunakan seperti kompos, “Anaerobic Digester” (AD), “Material Recovery Facility” (MRF), WTE dan tapak pelupusan. Matlamat utamanya adalah mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sambil memelihara sumber yang bernilai,” kata Zamri Abdul Rahman, Chair, Technical and Research Committee, WMAM.
WTE merupakan salah satu komponen penting dalam sistem ini. Sisa organik lebih sesuai diuruskan melalui kompos atau Anaerobic Digester, manakala bahan yang tidak boleh dikitar semula atau tidak mempunyai nilai pasaran sesuai diproses dengan WTE. Fungsi utama WTE ialah mengurangkan jumlah sisa sehingga 90%, sekali gus memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.
Isu perubahan iklim turut menjadikan WTE semakin relevan. Hujan lebat menyebabkan penghasilan leachate berlebihan yang sukar dirawat, manakala musim kering pula meningkatkan risiko kebakaran di tapak pelupusan. Justeru, WTE dilihat sebagai strategi pelupusan yang lebih selamat dan mampan.
Dalam ekosistem pengurusan sisa, setiap komponen saling melengkapi. WTE tidak menggantikan kitar semula atau kompos, sebaliknya menyokong usaha tersebut. Negara seperti Jepun dan Eropah mengamalkan sistem bersepadu yang menempatkan WTE sebagai pelengkap kepada strategi “zero landfill”. Malah, pengalaman global membuktikan bahawa semakin banyak fasiliti WTE dibina, kadar kitar semula juga meningkat.
Persepsi negatif terhadap WTE biasanya berpunca daripada teknologi lama yang menghasilkan pencemaran dioxin. Namun, teknologi kini jauh lebih maju, dengan sistem rawatan gas serombong dan kawalan pencemaran yang membolehkan loji WTE beroperasi berhampiran kawasan bandar tanpa risiko kesihatan atau bau busuk.
Selain itu, WTE menyumbang kepada tenaga boleh diperbaharui. Sebuah loji berkapasiti 1,000 tan sisa sehari mampu menjana sekitar 20 MW tenaga, beroperasi 24 jam, berbeza dengan solar yang hanya efektif sekitar 4.5 jam. Ini bukan sahaja mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kerana landfill merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada pelepasan tersebut di Malaysia.
Dari sudut ekonomi, WTE juga memberi nilai tambah – ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan mahir, memindahkan teknologi, serta membina kapasiti tempatan berbanding landfill konvensional.
WTE bukan sahaja melengkapkan strategi pengurusan sisa lain, tetapi juga menyokong ekonomi kitaran, menjana tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, serta memastikan sistem pengurusan sisa di negeri pesat seperti Selangor lebih mampan untuk jangka panjang.
WTE sebagai inisiatif utama
Menurut Hairi Ali, Pengurus Besar, Projek WTE, keluasan tapak pelupusan di Malaysia melonjak daripada 300 hektar pada tahun 2000 kepada 2,100 hektar pada 2010.
“Jika trend ini berterusan, Selangor mungkin memerlukan 5,000 ekar tanah untuk landfill menjelang 2050 – bersamaan separuh saiz Putrajaya, sesuatu yang hampir mustahil untuk ditampung,” katanya.
Hairi menambah, kekurangan tapak pelupusan yang sesuai juga menimbulkan risiko pencemaran air akibat limpahan atau aliran leachate yang meresap ke bawah tanah.Loji WTE SIS Rawang, dirancang sebagai salah satu inisiatif utama kerajaan negeri untuk merealisasikan agenda ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Dengan teknologi moden, residu selepas pembakaran dapat dikurangkan kepada hanya 10–15% untuk dihantar ke tapak pelupusan, jauh lebih mampan berbanding kaedah sedia ada.
Bagi projek loji WTE di Rawang, kami memastikan setiap fasa pembangunan mematuhi undang-undang dan piawaian alam sekitar yang ketat seperti ditetapkan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Rawang dipilih berdasarkan kajian kawasan tangkapan sisa, kesesuaian tanah dan faktor ekonomi. Objektifnya ialah mengurangkan kebergantungan kepada pelupusan, memulihkan tenaga daripada sisa serta menjadikan Selangor peneraju dalam pengurusan sisa moden.
WTE: Solusi Hijau, Lebih Lestari daripada Insinerator Konvesional.
Menurut Haji Hanafiah Zainal Abidin, Pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, UITM, WTE lebih efisien berbanding insinerator konvensional kerana ia beroperasi pada skala besar, menukar haba pembakaran kepada tenaga elektrik, serta dilengkapi sistem rawatan flue gas yang mematuhi piawaian antarabangsa termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Sebaliknya, insinerator konvensional hanya menekankan pembakaran dan rawatan flue gas tanpa penukaran tenaga. Dengan itu, segala tenaga haba yang dihasilkan dari pembakaran akan akhirnya dilepaskan ke persekitaran. Kebiasaannya loji insinerator konvensional ini dibina pada skala yang lebih kecil bertujuan untuk merawat sisa setempat yang lebih bersifat terasing seperti di pulau-pulau dan tanah tinggi yang mana penghasilan sampah setempat adalah terhad.
Terdapat dua keperluan utama bagi teknologi WTE untuk beroperasi dengan cekap iaitu kualiti dan kuantiti sisa yang ingin diproses. Setiap WTE dibina mengikut spesifikasi sisa setempat. Selain dari rekabentuk loji yang berbeza, prosedur standard properasian (SOP) juga berbeza mengikut ciri-ciri sisa setempat. Walaupun ada banyak perbezaan ciri-ciri sisa diantara Malaysia, Jepun dan Sweden, disebabkan pemahaman kita terhadap ciri-ciri sisa setempat inilah yang membolehkan kita merekabentuk loji WTE dengan tepat.
Memandangkan industri WTE adalah industri baru di Malaysia, banyak kajian boleh dilakukan bagi memahami keperluan industri dalam konteks Malaysia. Banyak perkara yang perlu dikaji bermula dari fasa perancangan dan seterusnya pelaksanaan, pembangunan teknikal, pengoperasian, penyelenggaran, pembangunan piawaian serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam industri WTE. Segala data dari kajian dan pakar-pakar yang dihasilkan boleh menyumbang kepada kelestarian industri WTE ini di masa akan datang.
Dengan pelaksanaan ini, Selangor bukan sahaja menangani cabaran pengurusan sampah, tetapi turut melangkah ke arah masa depan yang lebih bersih, lestari, dan berdaya saing.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/e11891e85443e41597663d04ac4360de.png)
