Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Awal minggu ini Mufti Besar Arab Saudi, Abdulaziz al-Sheikh menyatakan rakyat Iran (baca: penganut Syiah) adalah ‘bukan Islam’ dan merupakan keturunan Majusi.

Pandangan beliau ini dinyatakan dengan meluas sekali dan disahut dengan segera oleh Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, yang menyatakan tentunya tiada persamaan antara Islam yang diamalkan oleh rakyat Iran dan penganut agama Islam yang lainnya jika dibandingkan dengan cara fikir Wahabi yang marak api kebencian.

Jawapan balas Zarif tersebut bukanlah sesuatu yang tidak berjejak. Balas membalas kenyataan ini mengingatkan aku kepada tiga penunai haji dari Sumatera, Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik yang membawa pulang pemetik api keganasan.

Mereka bertanggungjawab merombak pengamalan Melayu Islam yang sentosa sifat asalnya. Aku akan menghuraikan siapa mereka dalam perenggan mendatang.

Madawi Al-Rasheed, editor buku Kingdom Without Borders: Saudi Arabia’s Political, Religious and Media Frontiers ( 2014) (gambar) mengaitkan Wahabi dari Arab Saudi dengan teroris dan militan kumpulan IS.

Beliau juga mengingatkan kita bagaimana Wahabi mengkhianati dan merosakkan citra Islam dan Muslim sejak kemunculannya kali pertama.

Menurut beliau, seawal 1912, Ibnu Saud mendirikan kumpulan Ikhwan dan mengajarkan anggota kumpulan ini membunuh Muslim yang menolak kekuasaan politik dan cara fikir Wahabi sebagai kafir.

Ketika itu, kebangkitan dan gerakan menubuhkan negara bangsa di dunia Arab dibakar oleh semangat kebangsaan dan patriotisme, tetapi di Arab Saudi ia disumbui oleh naratif jihad melawan kepercayaan yang tidak Islami.

Makanya dalam tahun 1920-an, Mekah dan Madinah menjadi sasaran di mana kuburan sahabat, dan ahli keluarga Nabi Muhammad SAW disodok, regulasi moral diperkenal, keterlibatan wanita di tempat awam dihadkan dan kod etika pakaian diperkenalkan.

Justeru bukanlah rahsia sejarah awal Wahabi yang membunuh, mengganasi dan mengehadkan hak asasi manusia. Namun demikian terdapat pengarang dan pengkaji tempatan yang menganggap gerakan Wahabi pimpinan Muhammad ibn Abd Al-Wahhab sebagai tokoh reformasi, atau tokoh Islah yang hebat.

Pandangan simpatetik terhadap gerakan ini misalnya dapat ditemukan pada tulisan Zakaria Daud berjudul Muhammad ibn Abd Al-Wahhab terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengarang menggambarkan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh beliau sebagai amar makruf dan nahi mungkar.

Rasionalisasi syariah

Aku sering ditanyai apakah yang mengakibatkan aku menolak fahaman ini sedangkan aku pernah didedahkan dengan kenikmatan Wahabi ini satu masa dahulu.

Menurutku, kehadiran Wahabi telah mengganggu proses rasionalisasi syariah, tambahan pula mereka melakukan pencerobohan terhadap hak asasi manusia seperti yang dinyatakan di atas.

Aku masih ingat betapa sarjana Islam, Fathi Osman, ketika hari-hari akhirnya telah menyeru supaya umat Islam mengembalikan ijtihad, dan bukannya jihad.

Pandangan beliau yang dilemparkan dalam ucapan berjudul Human Rights in the Contemporary World: Problems for Muslims menegaskan, meskipun kedua-duanya berkongsi satu kata akar – usaha atau ikhtiar yang bersungguh-sungguh – tetapi ijtihad lebih merujuk kepada ikhtiar atau usaha yang melibatkan penggunaan intelektual untuk merungkai dan menafsir teks suci.

Adalah malang sekali umat Islam dikait dengan perjuangan bersenjata (justeru dilihat ganas) berbanding perjuangan akal dan rasio (justeru dilihat lebih ilmiah). Ijtihad berbanding jihad akan menonjolkan objektif syariah dan persekitaran semasa yang mana akan mengambil kira hak asasi manusia.

Bagaimanapun, malang sekali dunia Melayu telah mengenali jejak Wahabi seawal tahun 1818. Stamford Raffles (gambar), Leftenan Gabenor di Jawa (British Java) antara tahun 1811 sehingga 1815 dan kemudian Gabenor-Jeneral Bengkulu atau Bencoolen antara tahun 1817 sehingga 1822 pernah menganggap Islam sebagai agama bertamadun yang perlu dihormati, “a religion that deserved respect and admiration”.

Beliau malah menggesa rakan-rakan untuk melayan Islam dengan adil kerana kehadiran Islam memberikan kebaikan untuk rantau Melayu justeru wajar dihormati sepertimana agama Kristian:

“The implementation of a unity of god found in the Qur’an through Muhammad, God’s own messenger had, to him, brought goodness to the Malay Archipelago. Islam thus deserved the same veneration accorded Christianity.”

Akan tetapi, malang sekali, tidak lama kemudian Raffles mengubah fikiran. Ketika itu keganasan agama sedang tumbuh dan meningkat naik. Keganasan atas nama agama sedang meraih minat besar dan corak keganasan ini dikaitkan dengan mereka yang baru pulang dari menunaikan haji dan terpengaruh dengan gerakan Wahabi.

Raffels dikejutkan oleh Gerakan Padri yang merupakan satu bentuk lama kepada kumpulan teror mutakhir seperti mana IS dan al-Qaeda. Ia dicetuskan oleh Tuanku Nan Tua yang berhasrat untuk melakukan ‘reformasi’ terhadap aktiviti buruk dalam masyarakat Minang.

Gerakan beliau tersebut menjadi radikal selepas kepulangan tiga haji dari Mekah yang mana gerakan ini mulai memaksakan Islam dengan kekuatan. Untuk menjadikan ia terlaksana, pembunuhan atas nama Islam dibenarkan.

Haji Miskin, Haji Piobang, Haji Sumanik

Selain menyasarkan golongan tradisional, pengikut tarekat Shattariyah juga dihambat dan memporak-perandakan Sumatera Barat. Mereka malahan tergamak membunuh ahli keluarga sendiri. Adalah tidak penting sama sekali apakah tiga haji tersebut iaitu Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik benar-benar terpengaruh dengan gerakan Wahabi pada waktu itu.

Bersama-sama Tuanku Nan Renceh di Bukit Kamang, kehadiran para haji atau ‘Padri’ ini menandai pencabulan hak asasi manusia dan merencat kesedaran hak asasi tersebut setelah menerima renjisan Wahabisme yang baru tumbuh di Hijaz.

Di situlah bermula sejarah mencatatkan bagaimana agamawan sendiri ikut terlibat melakukan pencabulan hak asasi seraya menggunakan nama agama. Gerakan Padri menjadikan penekanan kepada komponen fikah-syariah mendapat tenaga baharu.

Komponen tasawuf yang lebih damai dihinjak. Persamaan antara Wahabi dan kaum ‘Padri’ ini sangat jelas apabila pemaksaan hukum agama atas nama amar makruf dan nahi mungkar serta keganasan yang melampaui akal fikiran dilakukan.

Hal ini disentuh oleh Jeffrey Hadler dalam tulisannya A Historiography of Violence and the Secular State in Indonesia: Tuanku Imam Bondjol and the Uses of History. Sudah tentu, seperti yang kusebutkan sebelumnya ada sahaja pembela pencabulan hak asasi manusia ini dengan distorsi ia adalah amar makruf dan nahi mungkar.

Perang Padri adalah satu insiden dalam sejarah Nusantara yang tidak dikehendaki, dan ia tidak akan berlaku sekiranya penekanan berlebihan terhadap hukum-hakam tidak dilakukan.

Bukan sahaja perang tersebut menumpahkan darah, kelompok asal yang mengingini reformasi dengan cara damai seperti Tuanku Nan Tuo, bahkan Syeikh Jalaluddin turut diperangi dan digelar Rahib Tuo dan Rajo Kafir. Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu ingatan kepada keganasan agama yang kini sedang mendapat tempat di dunia.

Di Malaysia, sikap kerajaan mensasarkan penganut Syiah tempatan kelihatan selari dan sejajar dengan apa yang diingini dan dipromosikan oleh Wahabi di Arab Saudi. Masyarakat perlu memahami, Syiah adalah sasaran dan mangsa dalam banyak keadaan, dan bukannya pemangsa seperti mana naratif atau mitos yang sering dimainkan segelintir agamawan dan pengikut mereka di media sosial.

Lebih dahsyat, kelompok Ahlus Sunnah yang bertembung dengan kaum Wahabi ini akan ikut sama menenggek dan memakai baju Wahabi ketika membalun dan menekan pengikut Syiah. Mereka, ulama Sunni terlupa setelah diapi-apikan oleh ulama Wahabi, khususnya yang pandai menyamar.

Hari ini, menjelang kemuncak haji; gerakan Wahabi yang ganas membakar lagi api sektarianisme dan nyalaan api ini ibarat simbahan minyak yang meruap. Usaha pihak berkuasa untuk mengekang ekstrimisme, keganasan dan terorisme tidak dapat berjalan secara sempurna jika dalam masa yang sama, pengaruh dan ajaran Wahabi yang anti hak asasi, cenderung ganas dan tidak adil ini diraikan.

Duri dalam daging

Aku pernah menulis tentang gejala yang merimaskan ini dua kali di kolum ini. Kesendengan terhadap Wahabisme memang menjadi duri dalam daging kepada perkembangan Islam di tanah air. Umat bukan Islam melihat Islam hanyalah agama hukum-hakam dan komponen ihsan yang menekankan kasih sayang dikikis dengan begitu ghairah sekali.

Penganut bukan Islam juga bingung dan kehairanan mengapa hal-hal ranting seperti arca helang di Langkawi yang harus digembar-gemburkan sementara penyelewengan harta rakyat dan korupsi besar-besaran tidak sama sekali mendapat perhatian para ulama secara serius. Malah ulama menjadi benteng koruptor dengan pelbagai hujah-hujah agama.

Islam di Malaysia malah dihubungkan dengan pencabulan hak asasi manusia. Tanggapan ini wujud kerana adanya, secara sedar ataupun tidak, pendekatan Wahabi terhadap syariah, yang mana penganut fahaman ini merupakan halangan paling besar dalam perkembangan hak asasi manusia dalam kalangan umat Islam.

Malah mereka, kaum Wahabi, merupakan punca kekeliruan dan ketidakjelasan non-Muslim terhadap Islam. Pandangan aku misalnya ini dikongsi oleh Irene Oh dalam esei beliau yang bertajuk “Islamic Conceptions of Human Rights”.

Sekiranya umat Islam berpegang kepada kekuatan syariah, tidak terdapat sebarang kemusykilan mengenai Islam dan hak asasi manusia. Sebagai misalan, Irene menegaskan dalam tradisi Sunni, ijma digunakan untuk mengeluarkan hukum yang masuk akal, sementara dalam tradisi Syiah lantaran pintu ijtihad tidak tertutup, para mullah mereka akan memain peranan.

Akan tetapi penyakit malas atau mentality jihad mengatasi ijtihad seperti yang diwarisi dari pendekatan Hanbali-Wahabi menerbitkan kesemberonoan seperti terlihat pada sikap dan pendirian pengganas takfiri.

Tambah Irene, ‘although Wahabis claim the value of ijtihad, their intellectual intolerance renders the movement irresponsibly rigid and simplistic’.

Dalam makalah beliau itu Irene Oh menunjukkan bagaimana mazhab Sunni dan Syiah masih memiliki ruang untuk pembangunan hak asasi manusia tetapi itu tidak akan berlaku jika pendekatan dan tafsiran Wahabi diberi tempat.

Sekiranya ulama Sunni di Malaysia serius ingin menyekat dan mengekang fahaman Wahabi yang kian giat menyalakan api sektarianisme dan menyeru kepada keganasan dan terorisme, mereka hendaklah kenal pakaian apa yang perlu disarungkan ketika menetapkan hukum.

Bukan itu sahaja, mereka tidak boleh ikut sama terbawa-bawa dengan api sektarianisme yang dinyalakan Wahabi di ulang tahun pertama tragedi Mina. Jika ulama Sunni ikut sama membelasah penganut Syiah, gerakan Wahabi akan gembira kerana akan ada ruang untuk mereka bernafas seketika dan melakukan onar kembali.

Bukan itu sahaja, kekeliruan tersebut akan membolehkan kaum Wahabi yang menyamar, Wahabi dalam almari yang tampak progresif dan reformis mencelah sedangkan mereka adalah gunting dalam lipatan. Kumpulan ini sangat ramai sekarang dan bergiat dalam semua lapangan.

Kita maklum Wahabi sedia jahat, tetapi penganut Sunni jangan pula dibiar dibodoh. Alam Melayu mestilah kembali menjadikan kekejaman Gerakan Padri sebagai sempadan. Kita tidak boleh membiarkan semula Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik bermaharajalela atas nama Islam tetapi sebetulnya menjarah mesej keadilan dan kasih sayang Islam.

Di musim haji yang penuh gelora ini kita haruslah menjauhkan diri dari watak tiga ‘haji’ ini. Mereka adalah seburuk-buruk penunai haji seperti yang tercatat dalam lipatan sejarah dunia Melayu.


Wahabi dalam almari
Sup paku televangelis Wahabi

Lihat Komen
ADS