Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di Malaysia, semua urusan perihal Islam diurus, ditadbir, dikendali dan ditentukan secara penuh oleh pemerintah.

Pada tahun 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai misalan menyatakan Islam adalah agama rasmi menurut perlembagaan Malaysia, maka setiap anak yang dilahirkan sebagai seorang Islam hendaklah kekal sebagai seorang Islam.

Tidak ada pilihan lain dari itu. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga menyatakan jaminan dengan nada yang hampir sama:

“Untuk setiap Muslim, pemerintah bertanggungjawab memastikan nilai Islam dipraktik dan dilaksanakan. Oleh kerana itu, madrasah (surau), sekolah agama, Universiti Islam, ceramah agama dan kuliah agama di TV serta radio dipupuk oleh pemerintah demi memastikan orang Islam tidak terkeluar dari jalan Islam,” katanya.

Malaysia, seperti yang kita semua maklum, melaksanakan undang-undang Islam yang diurus tadbir oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan Mahkamah Syariah, dan juga dan undang-undang sivil (versi Malaysia).

Fakta sejarah tidak dapat dimungkiri lagi bahawa urusan agama dalam genggaman kerajaan seperti yang dilihat hari ini merupakan warisan penjajah Inggeris.

Moshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965.

Yegar menerbitkan hasil penelitiannya dalam sebuah buku akademik dengan judul ‘Islam and Islamic Institutions in British Malaya: Policies and Implementation’.

Kandungannya memuji ‘kebijaksanaan British’ dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu dan terhad di bawah satu pentadbiran:

“Colonial rule thus made for the concentration of doctrinal and administrative religious authority in the hands of a hierarchy of officials directly dependent on the sultans for their posts and power. The rulers and their State Councils began to assume a wider responsibility for religious affairs.

“Written, codified systems of civil and criminal law generated pressure to establish a more formal system of Islamic law, which was duly enacted in State Councils; courts were set up, legal procedures laid down, and a legal bureaucracy built to administer therm.

“A new establishment of religious officials now functioned in the sultans’ courts and in the villages no less. Many of these developments (notably the regulation of sharia courts), while responding to a real need, were also and emulation of administrative models of the West in a field which the Malays felt to be peculiarly their own.

“While there had been kathis, sharia law, and restrictive Islamic provisions at various times and places before, what the Malays added was the methodical application of law by an organized religious officialdom.”

Penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada Jabatan Kemajuan Agama Islam hari ini, menurut Yegar, membuahkan semacam "authoritative Islam" yang dipertahan oleh Malaysia sebagai "satu urusan di bawah takluk perlembagaan".

Pujian Moshe Yegar terhadap legasi penjajah Inggeris ini bagaimanapun tidak disambut baik oleh salah seorang antropologis terkenal di Malaysia. Abdullah Taib, dalam buku ‘Asas-Asas Antropologi’ misalnya pernah menyatakan bahawa majlis agama dan adat istiadat Melayu ditubuhkan di beberapa negeri Tanah Melayu sejak tahun 1920-an lagi.

“Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan Majlis Agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.”

Penggunaan tanda kurung untuk ungkapan “kebijaksanaan penjajah Inggeris” menunjukkan rasa kurang selesa Abdullah Taib. Dalam kajiannya, beliau turut mengkritik peranan Jabatan Agama Islam dalam menyudutkan nilai tempatan secara halus dan akademik.

“Islam institusi” atau “Islam Jabatan” yang diperkenalkan oleh penjajah inilah yang perlahan-lahan mulai menggelisahkan sebahagian hidup segelintir rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam.

Kegelisahan itu dikemukakan oleh antara lain, Tawfik Ismail (salah seorang ahli G25) dan kemudian disahut oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengatakan dalam sebuah negara demokratik, rakyat boleh menamatkan usaha menjabatankan Islam.

Sebagai nota pencerahan, ketika era pentadbiran Dr Mahathir, beliau secara pesat menjabatankan Islam. Beliau mengembangkan bahagian agama, di bawah Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).

Pada 1 Januari 1997, iaitu di bawah pentadbiran beliau, Dr Mahathir membiarkan atau memberi lebih banyak kuasa kepada bahagian ini dengan memberi isyarat lampu hijau kepada penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Apa yang dikhuatirkan adalah sesebuah institusi, dalam hal ini jabatan Islam, terdedah kepada kemasukan anasir luar, termasuk anasir ekstrem. Sebagai contoh terdapat satu laporan bahawa institusi atau jabatan Islam kita telah diresapi golongan yang simpati pada militan. Hal semacam ini amat membimbangkan.

Dalam satu laporan media pada April 2015, terdapat pendedahan bahawa kemungkinan institusi Islam diresapi oleh golongan yang simpati pada ISIS. Hal ini tidaklah mengejutkan memandangkan Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai mendedahkan terdapat sekitar 50 ribu rakyat Malaysia dipercayai kasih dan sayang kepada kumpulan pengganas ini.

Ini termasuklah kumpulan francais yang mengganas di kota di Baghdad, Beirut, Nairobi, Paris, Bali, Boston, Madrid dan London.

Malah satu pungutan suara telah menunjukkan bahawa 11 peratus rakyat Malaysia ‘OK’ dengan ISIS, dan ini bermakna 1 dari 10 rakyat Malaysia menyokong ISIS atau Daesh.

Baru-baru ini juga Penolong Pengarah Bahagian ‘Counter Terrorism’, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membuat pendedahan kontroversi dalam Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia.

Beliau memaklumkan, “ideologi Salafi Jihadi yang bersumber dari pandangan Ibnu Taimiyah dan serta tokoh-tokoh sealiran dengannya seperti Nasiruddin Al-Albani” adalah punca kepada ektrimisme dan ia semakin mendapat tempat di Malaysia.

Dalam seminar itu juga Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali mengaitkan mata pelajaran agama di negara kita dengan fahaman ekstrim.

Menurut laporan Utusan Malaysia Isnin lalu, Engku Ahmad mencadangkan agar sukatan subjek Agama Islam “dibersihkan daripada elemen yang boleh menjadi benih kepada ekstremisme dan sikap takfiri”.

Sikap takfiri itu bermaksud "fahaman yang mudah mengkafirkan umat Islam lain yang mempunyai pandangan berbeza, seperti ajaran tauhid tiga gaya Wahabi".

Apa yang Ayob Khan kurang tahu ialah seorang Wahabi, selaku makhluk ganas yang perlu dikhuatiri, hanya seperti gajah di dalam kamar. Justeru kerana besar tubuhnya, kehadirannya tidak disedari. Ia terlalu besar, sehingga tidak ramai yang perasan apa yang terjadi.

Seseorang Wahabi dalam almari (closeted Wahabbist) jarang dikenal orang. Mereka bertindak dalam diam. Wajah jambu akan memberi kelebihan. Mereka boleh menyamar sebagai progresif, hipster, mendengar lagu Justin Bieber, menyertai PKR-DAP-UMNO-(PAS sudah tentu), menyamar sebagai tokoh pendidikan, memakai sarung liberal, tetapi mereka adalah Wahabi.

Sebagai contoh, ambil sahaja Mahmud Ahmad dari Universiti Malaya . Beliau dikatakan antara pelatih dan perekrut tenaga pengganas di negara kita. Bayangkan, selaku antara pengarang sebuah makalah akademik beliau juga melatih pengganas di kawasan pergunungan dan hutan.

Makalah yang dipimpinnya berjudul ‘Belief and Respect in Multicultural Society: Religious Approach in the Globalised World’ yang diterbitkan di American Journal of Applied Sciences.

Mahmud malah berceramah di stesen radio dan surau atau masjid. Ayob Khan memerlukan bantuan sosiologis untuk membuka kunci penyamaran ini dengan menggunakan pendekatan teologi-forensik.

Di institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura bulan lalu, Dr Sohail Nakhooda menyampaikan ucap-utama yang merangkumi pengeboman Paris, Madrid, London, Beirut, Baghdad, Hazara-Afghanistan, pelarangan buku, dan pelbagai kejahatan Wahabi.

Memang, ada wakil Kedutaan Saudi membantah, tetapi bukti akademik terlalu besar, seperti kata Prof Ahmad Fauzi, sudahnya kami ahli akademik akan tetap bersandar bukti sedia ada.

Malam itu kami ada makan malam di sebuah hotel di kawasan Orchard. Restoran itu menyediakan jamuan buffet mahal, yang halal, juga lazat. Dr Sohail duduk di sisi. Di hadapan Dr Shahril, dan Profesor Aisyah dari National University Singapura.

Juga ada di meja makan, Dr Pradana Boy Zhulian yang tesis kedoktorannya mengenai fatwa Muhammadiyah, Nahdhatul Ulama dan Majlis Ugama Islam terhadap fahaman Syiah, Ahmadiyyah dan Islam Liberal.

Perbincangan berlangsung di sebalik denting sudu garpu yang bergesel dengan permukaan pinggan, jerkahan anak yang menangis inginkan ais krim, bau kue tiau yang merebak, tawa seorang pemuda dinyanyikan lagu hari jadi, dan simpang siur mereka yang mengambil makanan.

Dr Sohail menegaskan betapa besarnya wang yang dipunyai ISIS sehingga menyamai bajet sebuah negara. Terdapat negara yang berurusan dengan mereka. Membeli minyak, dan berniaga. Contohnya, Turki. Negara Barat yang terhutang jasa oleh urusan Petro-Dolar akan malu alah dengan Saudi.

Para ilmuan Islam, meski mengetahui kejahatan Wahabi, tidak mahu bersuara kerana tidak mahu disulitkan mengerjakan umrah dan haji. Kecelakaan Wahabi, termasuk yang menyamar, boleh dikenalpasti.

Di Malaysia, mereka menyamar antara lain sebagai ahli sosiologi atau ahli sains politik meski latihan sebenarnya adalah teologi. Mereka boleh berpura-pura di negara kita. Ramai ahli akademik kurang perasan.

Mereka, mungkin, dapat membentang konon dapatan penting di hadapan jawatankuasa DAP, tetapi dia, Wahabi dalam almari, akan mengulang putar bahan sama di mana-mana. Ahli akademik di Singapura tahu itu. Gajah dalam kamar. Mereka terlatih untuk melihat gambaran besar.

Dr Sohail sebagai misal mengeluh, kedai buku di luar Al Azhar kini penuh dengan buku Wahabi, kerana Saudi atau kerabatnya telah membeli kedai buku itu, atau dengan membeli penerbit-penerbit di situ.

“Bayangkan di luar Oxford tiada buku John Locke… atau Hobbes… seperti itulah, di luar Azhar tiada rujukan-rujukan penting Ahlus Sunnah yang dihilangkan. Al-Ghazali sebagai contoh telah dihilangkan dan diganti Albani,” keluhnya.

Aku memberitahu Dr Sohail, Wahabi dalam almari jugalah yang bertanggungjawab mengharamkan karya-karyaku bermula dari seorang ustaz lulusan Jordan di Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama rangkaian teman-teman sebekas dan seberkasnya.

Seorang Wahabi dalam almari memang cekap menyamar. Dengan wajah ‘baby-face’, ia mungkin berlindung di sebalik Sayyid Qutb. Tetapi Sayyid Qutb juga memang bermasalah.

Ada orang bertanya, bagaimana aku boleh keluar dari lingkaran setan sebagai seorang konservatif?

Aku mengikut saranan Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali yang kusebut lebih awal dalam artikel ini.

Caranya adalah dengan membuang toksin ajaran tauhid tiga gaya Wahabi – iaitu gagasan-wacana tauhid rububiyyah-uluhiyyah-asma wa sifat-kefahaman ibadah, kerana ia menyediakan cara pandang dengan membahagikan populasi manusia di dunia ini sebagai beriman atau kafir.

Aku hanya sedar dan terpana apabila membaca surat Saidina Ali kepada Malik Ashtar. Pesannya: “Manusia hanyalah saudara seiman denganmu, atau manusia sepertimu”.

Dalam satu surat lain, Saidina Ali berpesan kepada anak-anaknya: “Dunia terbahagi sebagai penindas, dengan yang tertindas”. Gagasan itu jauh murni dari cara pandang Sayyid Qutb yang antara lain menolak segala macam faham kepercayaan politik dalam 'Fi Zilalil Qur’an'.

Gagasan itu mendukung orang tertindas jauh lebih mulia dan Islam berbanding gagasan Qutb yang membahagi dunia kepada Kafir dan Muslim.

Gagasan semacam Qutb itu bila bergabung dengan gagasan Albani yang memang berbahaya akan menempah negara majmuk seperti kita kepada malapetaka, seperti yang disebutkan pihak berkuasa polis.


FAISAL TEHRANI felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lihat Komen
ADS