Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Enam orang akan dihadapkan ke mahkamah esok kerana menghina Sultan Azlan Shah dalam blog atau melalui komen yang disiarkan.

Difahamkan mereka terdiri daripada dua individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seorang di Petaling Jaya, seorang di Kota Kinabalu, Sabah dan seorang lagi di Butterworth, Pulau Pinang.

Beberapa orang lagi dijadual didakwa di Kuala Terengganu pada hari Ahad atas tuduhan yang sama.

Difahamkan, mereka didakwa kerana menyiarkan komen yang dianggap menghina Sultan Perak berhubung krisis politik di negeri tersebut,

yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan oleh Barisan Nasional selepas tiga ahli dewan undangan negeri (Adun) keluar parti.

Krisis tersebut sampai ke kemuncaknya apabila Sultan Azlan Shah meminta Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Nizar enggan berbuat demikian, menyebabkan perkara itu diheret ke mahkamah Kuala Lumpur dan Ipoh.

Tidak diketahui sama ada antara mereka yang akan didakwa itu terbabit dalam perbuatan memutuskan pautan ke lamanweb diraja Perak.

Hukuman penjara, denda

Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menyiasat kes tersebut sejak sebulan lalu.

Difahamkan individu-individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana "mengandungi isu kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu".

Mereka yang didakwa di bawah seksyen tersebut berdepan dengan hukuman denda maksima RM50,000 atau hukumen penjara maksima selama setahun atau kedua-duanya.

Ini adalah kali pertama individu didakwa di bawah seksyen tersebut.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya mengesahkan bahawa enam individu akan didakwa esok dan kemungkinan dua orang lagi pada hari Ahad.

ADS