Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

travelog Perjalanan ke Pusat Pendidikan dan Maklumat tentang Islam dan Hak-hak Wanita (Rahima) di Srengseng Sawah, seperti semalam, harus mengharungi kesesakan jalan raya.

Perjalanan ke sana mengambil masa lebih satu jam. Rahima adalah sebuah NGO yang memberi pendidikan dan memperjuangkan hak-hak wanita Islam yang terletak di Srengseng Sawah, Jakarta Selatan. Ia ditubuhkan pada Julai 2000.

NONE Tiba di persimpangan untuk memasuki lorong ke pertubuhan, bas kami terpaksa berhenti. Ini kerana lorong itu terlalu sempit dan hanya boleh dilalui motosikal dan sebuah kereta, menyebabkan kami terpaksa turun.

Bas kami terhenti di simpang jalan, kira-kira 200 meter menuju ke tempat tersebut. Lalu kami diberi pilihan, sama ada untuk berjalan kaki atau membonceng motosikal.

Saya dan rakan wartawan yang lain memilih untuk menapak, manakala peserta lain membonceng motosikal.

Kami tiba kira-kira jam 10 pagi. Suasana kampung itu sungguh nyaman. Rumah-rumahnya berkedudukan rapat. Memang sejuk, tenang dengan pemandangan pokok-pokok rambutan yang masih sedang berputik.

Ketika berjalan, penduduk kampung memerhatikan kami berpeluh berjalan, sambil menggalas beg serta bertopi kerana cuaca panas.

Perkasa wanita

Rahima terletak di atas kawasan tanah tinggi, bersebelahan sebuah curam di tepi sungai yang mengalir deras.

Sisters in Isla m (SIS) memilih pertubuhan ini, kerana ia giat memperjuang dan memperkasakan golongan wanita di republik itu melalui penerbitan majalah, buku dan risalah yang membela serta memberi pendidikan kepada wanita Indonesia.

NONE Dinah Muhiddin ( kanan sekali ) - salah seorang koordinator latihan Rahima - menjelaskan pertubuhan itu diwujudkan untuk memperkasa golongan wanita dan meningkatkan kefahaman mengenai hak-hak mereka.

Pertubuhan itu, jelas Dinah lagi, juga kerap mengadakan bengkel, diskusi, seminar, menerbitkan buku, majalah dan risalah yang membicarakan isu dan masalah wanita di Indonesia.

"Kita memperjuangkan kesetaraan, keadilan dan kebersamaan... (menentang sebarang tindakan) mengeksploitasi perempuan atas nama agama, sedangkan bagi Rahima, Islam tidak pernah mengkhianati wanita," katanya

Bengkel atau seminar mereka turut mensasarkan kumpulan kiyai (ustaz), ibu nyai (ustazah) dan aktivis masyarakat, kata Dinah.

Dinah, mahasiswa lulusan Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta mengakui tentangan daripada golongan konservatif di Indonesia, merupakan antara cabaran yang dihadapi Rahima di republik itu.

Fahaman konservatif

Katanya, Rahima juga berdepan dengan fahaman konservatif budaya dan persoalan taboo yang begitu mengakar dalam masyarakat Indonesia.

NONE Ini termasuk persoalan menjaga kesihatan reproduksi wanita di mana masyarakat setempat memandangnya "haram" dibicarakan secara terbuka di khalayak ramai.

Seusai berbicara, kami dihadiahkan majalah 'Swara Rahima' dan buku-buku terbitan pertubuhan tersebut sebagai ole-ole kenangan lawatan kami ke situ..

Kami beredar selepas lebih sejam mendengar taklimat serta dibawa meninjau persekitaran Rahima, menuju semula ke pusat bandar Jakarta..

Di situ, kami disajikan masakan padang untuk makan tengah hari di restoran Sederhana Bintaro, yang terletak di Jalan Tibet Barat, Jakarta Selatan.

Masakan padang di restoran itu - seperti kari kepala ikan dan kari ayam - tidak jauh bezanya dengan di Malaysia.

Bagi yang tiada pernah ke sana, mereka mungkin terkejut melihat cara makanan dihidangkan di mana semua makanan disaji sekaligus bersama air teh O. Bagaimanapun, pelanggan hanya diminta membayar bagi makanan yang mereka nikmati sahaja.

Jurnal Perempuan

Pelayan akan mengira kosnya mengikut jumlah lauk atau hidangan yang dimakan sahaja.

NONE

Selesai menjamu selera, kami beredar menuju ke Yayasan Jurnal Perempuan - sebuah lagi NGO yang memperjuangkan hak wanita dan kesetaraan gender di Indonesia.

Lokasi yayasan itu tidak jauh dari restoran tadi. Selagi lagi bas yang kami terpaksa berhenti separuh jalan kerana sukar untuk berpusing balik. Oleh itu, kami beramai-ramai berjalan sejauh kira-kira 200 meter untuk sampai ke situ.

Yayasan yang terletak di kawasan perumahan mewah di situ, ditubuhkan pada 1996 dan menerbitkan Jurnal Perempuan secara berkala (dua bulan sekali), serta menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai isu-isu kontemporari wanita di Indonesia.

Mereka juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa stesen radio yang menyiarkan program selama 10 minit, membicarakan tentang isu gender, seperti keganasan rumah tangga, poligami, lesbian dan penyeledupan manusia.

Yayasan itu juga menerbitkan majalah dan buku ilmiah yang membahaskan tentang masalah dan hak wanita di Indonesia.

Antara visi dan misinya ialah meningkatkan kesedaran mengenai hak wanita melalui penerbitan jurnal dan buku, menjalankan kajian serta menyalurkan informasi mengenai kesetaraan gender.

NONE Yayasan itu juga menyediakan informasi, mencetuskan ide, menyelenggara kegiatan pendidikan, dan membela hak wanita melalui empat program utama, iaitu menerbitkan Jurnal Perempuan, Radio Jurnal Perempuan, Video Jurnal Perempuan dan menjalakan kajian serta penerbitan buku.

Program Radio Jurnal Perempuan (PRJP) ke udara setiap minggu dan boleh diikuti masyarakat di pelusuk Indonesia. Sehingga kini, PRJP telah menghasilkan lebih 400 program yang menyuarakan hak wanita dan kesetaraan gender.

Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren

Abdul Rahim Sabri, wartawan Malaysiakini, berkunjung buat kali pertama ke Indonesia setelah lama jatuh cinta pada sastera dan filem republik itu.

ADS