Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Travelog Laila sedang sibuk membeli belah di pasar di kampungnya apabila seorang wanita muncul memberitahunya bahawa suaminya telah berkahwin lain, sambil menuding ke arah sekumpulan orang ramai dekat situ.

Laila tidak percaya apa yang diucapkan wanita itu, lantas melangkah laju menuju ke arah kumpulan tersebut. Anak lelaki kecilnya mengekorinya ke sana.

Bila sampai di situ, anak kecil itu ternampak ibunya menangis kesedihan, kakinya terpaku dan tidak bersuara.

NONE Sejak hari ini, selama satu tahun ibunya tidak keluar rumah kerana panas hatinya.

Dan anak kecil itu adalah Tom Ibnur dan kisah itu telah mendorongnya menyertai bidang pereka tari bagi memperjuang martabat wanita seperti ibunya.

Tom - pereka tari Institut kesenian Jakarta (IKJ) - berkongsi kisah tersebut ketika kami mengunjungi IKJ pada hari ketiga kunjungan kami ke Jakarta.

Menurutnya, kisah ibunya itu telah memberi ilham kepadanya untuk menghasilkan skrip teater berjudul “Shor-Shor” yang mengangkat martabat wanita, pada tahun 1988.

Angkat masalah wanita

"Perkataan Shor itu daripada al-Quran, yang bermaksud angin panas dan angin yang menghancurkan," katanya.

"Ia adalah naskah yang mengangkat masalah perempuan dalam karya saya," kata Tom yang ramah, lembut dan mudah tersenyum.

Perjumpaan kami dengan tenaga pengajar di situ berlangsung di sebuah bilik di IKJ di mana Tom menceritakan kisah sedih ibunya yang bernama Laila itu.

Tom juga merupakan bekas pengarah Taman Ismail Marzuki (TIM), sebuah tempat bagi seniman, sasterwan, ahli musik, budayawan berkumpul untuk menjalankan aktiviti seni.

Dia juga pernah dilantik menjadi 'duta kecil' Indonesia ke Malaysia untuk membaiki hubungan baik antara kedua-dua negara pada tahun 1967 hingga 1972.

NONE Katanya, dia diutuskan ke Seremban yang terkenal dengan adat pepatihnya. Tambahan pula, Tom berasal dari Bukit Tinggi yang kebanyakan penduduknya berketurunan Minangkabau.

Sewaktu di Malaysia, Tom juga ke Johor Bahru, Batu Pahat, Mersing dan Pontian untuk mempelajari tarian zapin.

'Curi' keluar rumah

Perjalanan ke IKJ daripada Hotel Millenium, mengambil masa kira-kira sejam. Seperti semalam, kami terpaksa mengharungi kesesakan di ibu kota Jakarta. Bas yang kami naiki terpaksa melalui hiruk pikuk itu untuk sampai ke destinasi kami.

Tom yang berusia 58 tahun itu berkata, kecintaannya terhadap bidang tarian berbunga sejak kecil lagi. Ketika itu, dia sering ‘curi-curi’ keluar rumah untuk pergi belajar tarian pada waktu malam.

“Saya terpaksa keluar melalui tingkap bilik kerana tidak mahu ibu tahu,” katanya. Ibunya menentang hasratnya untuk belajar menari kerana seorang anak lelaki.

Untuk mengabui mata ibunya, Tom akan menutup bantalnya dengan kain selimut, seolah-olah dia sedang tidur nyenyak.

"Saya mendapat tentangan hebat dari ibu untuk berlakon tarian randai. Randai memerlukan lelaki menjadi perempuan.

"(Jadi) peranan menjadi perempuan tidak dipersetujui keluarga. Dalam minda mereka bersandiwara di zaman Belanda, dikaitkan dengan orang tak faham agama.

"Kolonial senang dengan duniawi. Itu yang melekat dalam minda ibu saya ketika itu.

Tarian Minangkabau

NONE "Akhirnya ibu mendapat tahu juga yang saya bermain randai dan alat musik," katanya mencerita penceburannya dalam bidang tarian.

Tom juga menceritakan mengenai sejarah tarian dalam masyarakat Islam minangkabau.

Katanya, pernah berlaku peperangan antara agamawan dan orang yang mempertahankan adat pada abad ke-15 atau ke-16.

Menurutnya, pada waktu itu, fahaman Wahabi sudah meresap dalam masyarakat di sana, di mana mereka bertindak keras melarang permainan musik, sehinggakan alat-alat musik dibuang ke sungai.

Satu lagi pengalaman yang masih segar di ingatan Tom ialah ketika dia dipanggil oleh Majlis Ugama Indonesia (MUI) berhubung kontroversi tariannya yang dikatanya menyalahi agama Islam.

"Saya ke MUI untuk memperjelaskan perkara itu. Saya tidak pernah mengecilkan orang agama dan tidak berdebat dengan mereka," katanya.

Festival zapin

Hasil perbincangan dengan MUI, katanya, segala permasalahan dapat ditangani dengan baik.

Tom juga banyak membuat persembahan tarian di peringkat antarabangsa dan pernah menyertai Festival Zapin Nusantara di Johor Bahru pada 1998.

Sementara itu, pensyarah musik IKJ, Dr Jabatin Bangun pula berkata, institusi itu melahirkan ramai tokoh dalam bidang kesenian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti pengarah muda filem di Indonesia, Garin Nugroho.

Filem 'Daun di atas Bantal' , mendapat pengiktirafan di festival filem Cannes, Perancis pada tahun 1999.

Terdapat tiga fakulti di IKJ, iaitu Fakulti Filem dan Televisyen, Fakulti Seni Persembahan dan Fakulti Seni Rupa dengan seramai kira-kira 2,500 mahasiswa.

Esok: Bertemu Ibu Shinta

Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara

Hari kedua (bah 1): Rahima perjuang hak wanita Islam

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren

ADS