Mesyuarat pewakilan Umno bahagian Bukit Bendera yang ditangguhkan sebanyak dua kali ekoran pelbagai sebab dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini.
Bagaimanapun, ia tidak akan diadakan di bahagian tersebut, sebaliknya di sebuah hotel di Bayan Baru.
"Saya sudah dapat keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk mengadakan mesyuarat di luar kawasan.
"MT faham masalah kita. Kita tidak boleh tangguh (lagi), (bulam) puasa sudah dekat," kata bekas ketua Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Ismail.
Ahmad berkata mesyuarat tersebut akan berlangsung di Hotel Eastin dalam parlimen Bayan Baru, bermula jam 2.30 petang.
Sebelum ini, mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan - yang dijadualkan pada 11 Julai lalu - telah ditangguhkan kali pertama tanpa sebarang penjelasan diberikan.
Manakala mesyuarat berikutnya yang dijadual pada 31 Julai lalu sekali lagi mengalami nasib sama atas sebab-sebab yang tidak jelas.
Ada "masalah logistik"
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad menjelaskan mesyuaratnya pada penghujung bulan lalu terpaksa ditangguhkan lagi kerana "masalah logistik".
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apakah sebenarnya masalah yang dimaksudkannya itu.
Katanya, maklumat lanjut majlis tersebut akan dijelaskan pada 5 Ogos ini dalam satu sidang media di pejabat Umno bahagian di Tanjung Bunga.
"(Ini kerana) saya dapat banyak panggilan telefon daripada wartawan bertanyakan perkara ini," kata Ahmad lagi.
Pada Mac lalu, kesemua 36 jawatankuasa bahagian itu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ahmad untuk mengetuai semula bahagian tersebut - langkah yang dikatakan tidak dipersetujui oleh Gerakan.
Ahmad pada September 2008, digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun ekoran didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, MT mengambil keputusan untuk menarik semula penggantungan itu.
