Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas tahanan ISA gagal dapat gantirugi RM2.5j

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan rayuan bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdul Malek Hussein yang hilang gantirugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

NONE Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Md Sherif yang mengetuai panel tiga hakim yang bersidang hari ini berkata Mahkamah Persekutuan berpuas hati dengan ketiga-tiga soalan yang diajukan.

Alauddin, dalam keputusan sebulat suara, berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Abdul Malek dalam permohonannya bagi Mahkamah Persekutuan membuat penetapan, tidak tertakluk dalam lingkungan kriteria mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah agar memberikan kebenaran.

"Justeru, permohonan ditolak."

Dua hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Abdul Malek membayar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membuat penghakiman bersejarah dengan menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepada Abdul Malek.

Abdul Malek ditahan selama 57 hari dan dibebaskan pada 21 Nov 1998. 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Mac lalu, mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dan memutuskan Abdul Malek  tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan untuk membayar kos litigasi RM50,000.

Oleh itu, Abdul Malek memohon kebenaran hari ini untuk membawa rayuannya ke Mahkamah Pesekutuan.

Dalam saman sivilnya, Abdul Malek menamakan pegawai polis cawangan khas Asisten Superintendan Borhan Daud, Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam samannya, beliau mendakwa penangkapan dan penahanan adalah salah kerana dia tidak pernah dimaklumkan mengenai sebab penangkapannya dan turut didera semasa dalam tahanan.

[Baca berita penuh]

ADS