Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin NGO 'belum baca' laporan Najib jumpa Soros

Beberapa pemimpin NGO hari ini enggan mengulas panjang apabila diajukan soalan berhubung pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jutawan George Soros di New York pada 2010.

Antaranya, ahli Majlis Perundingan Melayu (MPM) Shahbudin Embun yang mendakwa masih belum membaca laporan itu – yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

"Saya tidak mahu komen sebab saya tak baca blog itu. Tetapi secara kasaranya, ini fakta yang umumnya diketahui daripada blog itu bahawa Soros tidak mesra dengan kira (kumpulan pro-kerajaan) tetapi mesra dengan pembangkang.

"Itu sahaja yang saya mahu komen. Jadi kamu pergi tidur dengan Soroslah," katanya dengan sinis dalam bahasa Inggeris apabila ditanya wartawan Malaysiakini dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, MPM juga akan terus mempertahankan Najib, institusi demokratik dan instusi raja.

"Kami sebagai NGO, akan mempertahankan negara ini, Datuk Seri Najib, institusi demokratik dalam negara ini dimana Raja adalah ketua dalam perlembagaan.

"Kami tidak mahu campur tangan daripada mana-mana pihak," katanya lagi dalam sidang media berhubung tindakan NGO Suaram yang menimbulkan skandal pembelian kapal selam Scorpene di mahkamah Perancis.

Begitu juga reaksi beberapa NGO lain yang turut hadir dalam sidang media tersebut, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pribumi Perkasa dan Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM).

Pemimpin NGO tersebut memberi alasan yang sama - bahawa mereka masih belum membaca laporan berkenaan.

Antaranya, presiden KWMM Dzulkarnain Taib yang berkata, itu menyebabkan beliau tidak boleh memberi ulasan.

"Saya tak baca laporan itu, saya tak tahu, jadi saya tak boleh komen," kata bekas pengarang lidah parti PKR Suara Keadilan itu.

Dalam sidang media itu, PPIM diwakili setiausaha kerjanya Mustafa Hamzah manakala PERKASA diwakili yang dipertua Wilayah Persekutuan Sharifuddun Abdul Hamid.

Laporan Malaysiakini hari ini menyebut, Najib Razak mengadakan pertemuan peribadi dengan Soros - individu yang dilihat oleh penyokong setia Umno sebagai musuh nombor satu - di New York dua tahun lalu.

najib razak in new york united nation un general assembly speech Pertemuan tersebut -  yang mula-mula didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa semasa berdebat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim - berlangsung di sebuah hotel mewah - Hotel Plaza di Manhattan.

Malaysiakini telah mengesahkan pertemuan Najib-Soros dengan satu

sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.

Pertemuan perdana menteri dengan Soros, yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010.

Dipercayai sekurang-kurangnya seorang pemimpin tinggi Umno hadir di pertemuan tersebut.

Najib, yang menjadi perdana menteri pada tahun 2009, menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari yang sama beliau bertemu dengan Soros.

Dalam ucapan di PBB itu, Najib mencetuskan 'gerakan global moderat' untuk menebus semula agenda keamanan dan pragmatisme.

Di luar perhimpunan agung itu, Najib juga bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan mengadakan perbincangan dengan beberapa ketua kerajaan.

ADS