SU Dewan Ulama: Ada 'ketidakselarasan' di Harakah

Setiasaha Dewan Ulama PAS Pusat Dr Khairuddin Aman Razali menyerahkan kepada para perwakilan sayap berkenaan untuk membangkitkan rungutan berhubung lidah partinya Harakah dalam muktamar penuh parti itu esok.

Beliau turut menyebut mengenai "sedikit ketidakselarasan" di Harakah sehingga terdapat kenyataan daripada sayap berkenaan yang tidak disiarkan di akhbar tersebut.

Bagaimanapun, hampir 95 peratus kenyataan dan pendirian Dewan Ulama disiarkan dalam portal berita Harakahdaily, kata Khairuddin ketika berucap di muktamar sayap parti tersebut petang ini.

"Cuma sedikit 'ketidakselarasan' berita tidak dikeluarkan di peringkat Harakah cetak. Sehubungan itu, saya akan berbincang supaya dikeluarkan di peringkat Harakah cetak (bagi menyelesaikan rungutan tersebut).

"Yang selebihnya tuan-tuan boleh bangkitkan di muktamar penuh," katanya lagi, mengulas rungutan yang dibangkitkan beberapa orang perwakilan sebelum itu.

Perwakilan berkenaan membangkitkan perkara itu dengan merujuk laporan hari ini – berhubung usul yang dijangka akan dibawa oleh Dewan Pemuda PAS berhubung Harakah.

Dalam perbahasan mengenai laporan tahunan Dewan Ulama itu, Khairudin turut mengulas mengenai jumlah calon daripada ulama yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Khairuddin berkata sayap parti tersebut mencadangkan supaya antara 20 hingga 30 peratus calon terdiri daripada wakil Dewan Ulama.

"Pertimbangan akhir adalah daripada keputusan PAS Pusat dan diisytharkan oleh mereka. Kami serah dan beri pandangan," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.