Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu Aminulrasyid tak puas hati keputusan mahkamah

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 62, berkata keluarganya tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian anaknya.

    

Beliau berkata keluarganya akan berbincang dengan peguam untuk membuat semakan terhadap keputusan itu.

    

"Sudahlah keputusan awal ke atas tertuduh sebelum ini hanya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan kali ini dalam keputusan rayuan tertuduh dibebas daripada kesalahan itu.

"Saya sebagai seorang ibu mahukan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana anak saya bukan penjenayah tetapi hanya tidak memiliki lesen memandu semasa kejadian berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen 11 di Shah Alam hari ini.

    

Norsiah berkata beliau hanya mengetahui mengenai keputusan pembebasan Jenain selepas dihubungi anak sulungnya, Nor Azura, 42, yang membaca berita di Internet.

    

Beliau berkata keluarganya tidak dapat hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan kerana semua anaknya sibuk bekerja dan hanya mampu berdoa di rumah supaya anggota polis itu dijatuhi hukuman setimpal.

"Bagaimanapun saya amat terkejut dan terkilan dengan keputusan ini. Saya juga rasa sangat sedih kerana kematian anak saya seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

NONE Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah (kanan), dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

- Bernama

1. Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain bebas tuduhan

2. Jenain minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid

ADS