Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenain minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid

Walaupun Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan beliau daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas, Koperal Jenain Subi tetap merendah diri memohon maaf kepada keluarga remaja lelaki itu.

    

"Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

    

Jenain yang ditemani peguam belanya, M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi berkata keputusan mahkamah juga telah membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

    

"Alhamdulillah...semua ini kuasa Tuhan dan selama ini saya berserah kepadaNya. Hari ini telah terbukti siapa salah dan siapa tidak salah dan akhirnya saya mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

    

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan membebaskan Jenain daripada tuduhan selepas menerima rayuan anggota polis itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada September tahun lepas.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, Jenain yang memakai kemeja dan berkopiah putih mengalirkan air mata dan tersenyum. Isteri serta seorang anak perempuannya yang berada di galeri awam turut menangis kegembiraan.

    

Beliau yang pernah bertugas sebagai polis mahkamah turut menerima ucapan tahniah daripada beberapa anggota polis yang hadir memberikan sokongan moral.

    

Jenain, 49, yang ketika kejadian bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di Shah Alam.

    

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

    

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Ditanya sama ada beliau masih ingin meneruskan khidmat dalam pasukan polis, Jenain yang kini digantung tugas berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis.

    

"Saya tetap akan teruskan perjuangan dan berkhidmat untuk pasukan polis serta kerajaan," kata bapa kepada empat orang anak yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam pasukan polis.

Bernama

1. Ibu Aminulrasyid tak puas hati keputusan mahkamah

2. Jenain minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid

3. Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain bebas tuduhan

ADS