Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Dari sudut teologi ataupun disiplin kajian tentang ketuhanan/aqaid maka kalimah Allah adalah perdebatan antara konsep ketuhanan yang dipakai oleh penganut masing-masing.

Secara asasnya perdebatan tentang ketuhanan dalam teologi Kristian ditegakkan atas konsep triniti.

Pelbagai mazhab muncul dalam konflik antara mazhab Kristian tentang lambang Nabi Isa atau Jesus sebagai tuhan atau manusia.

Namun mereka mempunyai kepercayaan yang sama tentang Jesus sebagai penebus dosa asal manusia dan bahawa Jesus ada unsur ketuhanan dan Jesus adalah penyelamat.

Konsep ketuhanan bagi mereka adalah dalam peribadi Jesus.

Mulai tahun 325, Konstantin, seorang Raja Rom telah menganut agama Kristian. Beliau Dalam sidang Nicea menyatukan doktrin Kristian atas triniti.

Maka tersebarlah ajaran Roman Katolik dengan gereja sebagai institusi yang mengawal doktrin itu sampai ke saat ini.

Islam tolak triniti

Sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi, iaitu jarak 600 atau 500 tahun dari kedatangan Nabi Isa AS, kefahaman triniti telah menular.

Dan al-Quran menyebut tentang kesesatan triniti yang dikaitkan dengan Allah dalam surah al- Kahfi:

"Dan memberi peringatan kepada mereka yang berkata: ambillah Allah sebagai anak, mereka tiada ilmu (yang benar) dan begitu juga dengan nenek moyang mereka, besarlah kemusnahan apa yang keluar dari mulut mereka, mereka hanya mengatakan kepalsuan." (Al Kahfi: 4,5)

Islam menegaskan Allah dalam nada ketauhidan mutlak sedangkan nabi Isa AS hanyalah rasul seperti Muhammad SAW.

Nabi Muhammad menegaskan tauhid berasaskan surah Ikhlas iaitu: "Katakanlah Allah itu itu Tunggal...."

Umat Islam diajar untuk senantiasa mensucikan Allah daripada apa yang menodai-Nya daripada unsur syirik dengan menyatakan:

"Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan...." (Al Hasyr: 23)

Rumusan premis teologi

Dari sudut teologi. premis perbahasan tentang "Allah" atas asas pertembungan antara ketauhidan mutlak melawan syirik dalam segala bentuknya.

Ini termasuklah triniti yang menjadi doktrin akidah Kristianiti sehingga kini.

Sebagai umat yang meyakini ketauhidan mutlak ini, tidak mungkin mana-mana Muslim boleh menerima "Allah" yang dicemari dengan konsep triniti.

Dari sudut ini adalah betul untuk kita menerima bahawa Allah sama sekali tidak ada kena mengena dengan fahaman triniti dan perkara ini mesti dijelaskan dari sudut pandang sisi Islam.

Premis prinsip

Prinsip yang dimaksudkan ialah asas yang membentuk hubungan Islam dengan bukan Islam, yang mana prinsip-prinsip ini memantulkan kerahmatan Islam dan komitmen Islam kepada hak beragama.

Prinsip inilah yang telah membawa Islam menjadi peneraju kepada tamadun manusia dan mengasaskan fondasi yang kukuh untuk dijadikan rujukan kepada manusia.

'La ikraha fid din'

Prinsip ini mencakupi makna yang luas termasuklah tidak ada hak untuk kita umat Islam menentukan apa yang betul dan tidak dalam urusan ibadat mereka.

Implikasi prinsip ini juga menetapkan bahawa bukan Islam ada kebebasan untuk beribadat dan beramal dan faham agama mereka, cara mereka serta menjadi tanggungjawab kepimpinan negara menyediakan keperluan mereka.

Rasulallah dilarang oleh Allah untuk menggunakan taktik 'paksa' dalam apa jua bentuknya walaupun dengan niat yang baik supaya mereka menerima Islam.

Allah menegaskan:

"Jika Tuhanmu berkehendakkan, maka berimanlah setiap jiwa kesemuanya di muka bumi ini, apakah engkau wahai Muhammad mahu memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang yang beriman?" (Yunus: 99)

Kerencaman tanda kebesaran-Nya

Islam memperakui kepelbagaian dan kerencaman kerana itu adalah tanda kebesaran Allah.

Allah berkemampuan menjadikan semua manusia berada atas agama yang sama. Tetapi Allah mahu menetapkan tanda kebesaran-Nya iaitu manusia berterusan berbeza-beza agama:

"Jika Tuhanmu berkehendakan, niscaya dijadikan kamu semua di atas agama yang satu (sama), namun hakikatnya mereka akan berterusan berbeza-beza (agama)" (Hud: 119)

Prinsip kepelbagaian ini menjadi teras kepada kekuatan Islam tersebar dengan cara yang terhormat.

Dan jambatan yang menyambungkan antara kepelbagaian dan risalah Islam ialah jambatan kedamaian yang dihulurkan oleh Islam dengan penuh keikhlasan.

Islam meraikan kepelbagaian ini dalam segala bentuknya bagi mengelak konflik yang berpotensi tercetus atas nama kaum, bangsa dan agama yang mewarnai hubungan antara kuasa pada waktu itu.

Lantas mesej kedamaian atau as-salam yang dipelopori oleh Islam menjadikan agama ini sangat dihormati oleh kawan dan lawan.

Perdebatan sihat

Prinsip ini menjadi rahsia Islam dapat diterima oleh pelbagai kaum dan manusia kerana asas menerima atau menolak adalah atas kesedaran dan keyakinan melalui dialog dan perdebatan yang sihat.

Dialog membuka ruang untuk masing-masing mempertahankan kekuatannya dan dari sini terserlah siapa yang lebih mantap hujahannya.

Ia lalu memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat penilaian.

Sebagai agama yang benar, Islam tidak sama-sekali melarikan diri dari berhadapan dengan hujahan agama lain.

Malah al-Quran menggalakkan pendekatan dialog dan debat dengan berhemah dengan penentang-penentangnya.

"Serulah kamu ke jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan memberi nasihat yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhan-Mu mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan dia mengetahui siapa di kalangan yang mendapat petunjuk." (an Nahl: 125-126)

"Janganlah kamu berdebat dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang baik (berhemah), kecualilah mereka yang menzalimi kamu." (Al-Ankabut: 46)

Rumusan premis prinsip

Dari keterangan yang diberikan melalui prinsip tiada paksaan, prinsip kepelbagaian dan prinsip dialog jelaslah bahawa di sebalik kesesatan teologi triniti pada hemat perdebatan premis teologi, prinsip besar Islam tidak pernah menghalang apa juga keyakinan agama lain walaupun mereka mengaitkan doktrin mereka dengan kalimah Allah.

Prinsip ini lebih besar untuk dipelihara dari kesesatan mereka.

Ini kerana ruang yang diberikan oleh Islam untuk membetulkan salah faham tentang Allah ialah melalui perdebatan sihat dan dialog.

Ia bukan pendekatan ketetapan melarang kerana itu sudah masuk dalam daerah memaksa yang ditegah oleh prinsip la ikraha.

Kisah Kristian Najran yang mengunjungi Nabi Muhammad SAW di Madinah menjadi dalil betapa Rasulallah membela prinsip-prinsip di atas.

Walaupun sudah berdebat dan berdialog dengan Nabi, mereka tetap dengan pendirian mereka, Nabi membiarkan mereka malah mengirim pulang bersama mereka seorang sahabat untuk meneruskan usaha berdialog dengan Kristian Najran.

Nabi berbuat demikian sebagai ikutan kepada kita bahawa prinsip besar rahmatan lil alamin mesti dipelihara bukan melalui larangan kepada agama lain tetapi melalui dialog.

Dan terserahlah kepada Allah ketentuan hidayahnya. Inilah kekuatan Islam!

"Bagi Allah itu hujah yang kukuh, jika dikehendaki maka akan diberi hidayah kepada kamu semua." (al An'am: 149)

Premis perundangan

Undang-undang diperlukan untuk menyelesaikan konflik antara rakyat dan kerajaan. Dari sudut kalimah Allah yang menjadi konflik, ketetapan undang-undang diperlukan bagi mendamaikan pihak yang berkonflik.

Dalam hal ini ialah pihak Gereja dan kerajaan. Dan isunya adakah kalimah Allah boleh digunakan oleh majalah The Herald dalam penerbitannya.

Ia akan menjadi kes duluan kepada apa sahaja isu yang asasnya apakah Kristian boleh menggunakan kalimah Allah atau tidak?

Bagaimana jika digunakan dalam Injil?

Bagaimana jika penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam perbualan mereka dengan rakan Muslim mereka?

Bagaimana dalam nyanyian lagu sesetengah negeri yang ada kalimah Allah dinyayikan oleh penganut Kristian?

Bagaimana lambang Allah dalam lencana yang dipakai oleh penganut Kristian?

Jikalau alasan Allah adalah milik eksklusif umat Islam, maka bagaimanakah kes-kes yang disebutkan di atas?

Asas penghujahannya berpandukan kepada Artikel 3(1) yang mengatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan.

Artikel 11 yang secara khusus bercakap tentang kebebasan beragama untuk lain daripada Islam dengan kawalan dalam fasal 4.

Sebenarnya keputusan Mahkamah Tinggi 31 Disember 2009 meletakkan asas perundangan yang cuba memahami kerangka peruntukan di atas.

Dan ia dengan jelas menunjukkan keterbatasan edaran The Herald untuk penganut Kristian sahaja malah melarang edarannya kepada umat Islam.

Walaupun The Herald boleh diakses melalui portal Internet, namun persoalannya jika umat Islam membacanya adakah umat Islam akan keliru?

Mahkamah rayuan

Namun Mahkamah Rayuan 4 tahun kemudian telah menambahkan unsur lain yang lebih meluas dengan membuat andaian teori kekeliruan, keresahan kristianisasi dan asas ketidaksepakatan Katolik pada kalimah Allah.

Mahkamah Rayuan membawa isu kalimah Allah kepada tahap perbahasan yang mendedahkan dirinya kepada perdebatan teori konspirasi dan kebimbangan yang tidak berasas.

Ia sekali gus tanpa disedari menceroboh premis prinsip Islam dalam melihat hubungan antara agama yang mesti diasaskan atas prinsip kedamaian.

Mahkamah Rayuan juga memberikan gambaran bahawa Islam berhadapan dengan isu ini melalui ketetapan 'larangan' dan mensia-siakan peluang melaksanakan prinsip dialog dan perdebatan yang sihat.

Secara hujahan premis prinsip, Mahkamah Rayuan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip besar Islam.

Teori konspirasi dan kebimbangan mesti didatangkan dengan bukti supaya prinsip asal boleh dikecualikan (istithna') dengan kadar keperluannya.

Malangnya bukti yang ada hanyalah sensasi media dan tekanan golongan ekstrim kanan yang benar dalam hujah premis teologi tetapi tersasar dari hujah premis prinsip.

Manakala dari premis perundangan, Mahkamah Rayuan mungkin terlepas pandang prinsip lebih besar yang dijunjung oleh Islam dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

Formulasi pendekatan

Isu kalimah Allah perlu dilihat secara objektif kerana kerapuhan isu ini berupaya menimbulkan ketegangan hubungan antara agama dan menggadaikan cita-cita negara yang berasaskan kematangan dan objektiviti dalam menyelesaikan konflik sebegini.

Kejelasan antara premis-premis yang dikategorikan dalam artikel ini bukan menggambarkan ia bercanggah antara satu sama lain tetapi ia melambangkan inisiatif untuk mencari formula pendekatan kepada masalah secara matang.

Oleh kerana itu, semua pihak perlu menjauhi sentimen dan semua kepimpinan politik harus mencari jalan satu dasar baru perpaduan nasional yang sudah tidak boleh lagi beroperasi atas kebencian dan prejudis.

Tetapi sebagai warganegara yang yakin dengan kerangka yang dibina oleh semua pemimpin awal - yang berbincang panjang tentang bentuk negara yang diwariskan kepada generasi akan datang.

Cara berfikir dan mengendalikan situasi seperti kalimah Allah seolah-olah kita berada dalam negara yang baru sahaja merdeka.

Sedangkan ada cara lain yang lebih menggambarkan kematangan berfikir pemimpin dan rakyatnya.

Kita juga tidak boleh membiarkan golongan sempit menentukan masa depan negara ini dalam konteks hubungan antara agama.

Ia mesti ditentukan oleh kejelasan prinsip dan ketelusan kita menyelesaikan masalah.

Mara ke hadapan

Jalan ke hadapan bukan pilihan tetapi satu kemestian untuk mereka yang mahu melihat negara ini melonjak dari tahapnya hari ini.

Isu kalimah Allah benar jika umat Islam berhujah atas premis teologi yang amat bercanggah dengan tauhid yang diimani oleh umat Islam.

Tetapi ia salah apabila umat Islam menyatakan Allah hanya khusus untuk umat Islam dalam premis prinsip kerana tiada perenggan daripada Al-Quran atau As-Sunnah yang mengizinkan larangan ini diwajarkan.

Ini supaya prinsip besar dalam hubungan dengan bukan Islam tidak dicerobohi.

Adapun atas premis perundangan, Mahkamah Rayuan pada hemat saya terlepas pandang kerangka negara ini dibina dan dikukuhkan lagi dengan percanggahan ketara prinsip Islam yang mahu membuka ruang berdialog dan bukan peluang untuk melarang dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

"Tidak Kami utuskan dikau melainkan untuk membawa kerahmatan kepada semua." (al Anbiya': 107).

Undang-undang memberikan ruang untuk dibawa kes ini ke peringkat lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.

Apakah rakyat akan diheret lagi kontroversi ini di peringkat lebih tinggi?

Saya tiada jawapan tetapi yang saya inginkan dan idamkan ialah semua rakyat Malaysia dengan satu seruan: Marilah kita mara ke hadapan.


mujahid rawaDR MUJAHID YUSOF RAWA ialah ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi Forum Dialog Antara Agama Asia Tenggara.

Buku terbaru beliau Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian memuatkan catatan pengalaman selaku pengerusi lujnah perpaduan PAS yang berdialog dengan lebih 30 gereja di seluruh negara sejak isu kalimah Allah meletus.

Bahagian I: Sang aktor pemimpin isu 'Allah'

ADS