Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta Timbalan Presiden PKR Azmin Ali supaya tidak mengamalkan politik eskapisme serta mengetepikan PAS bukan tindakan yang bijak, kata Dr Afif Bahardin.

Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMK berkata, kenyataan berkenaan tidak selaras dengan "strategi dan usaha utama" bagi menggabungkan semua parti pembangkang untuk menghadapi "rejim diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak".

Katanya, pada hakikatnya rakyat meletakkan harapan tinggi kepada gerakan pembangkang untuk membawa perubahan, selain memastikan Najib dapat dikalahkan supaya reformasi menyeluruh dalam sistem negara dapat terlaksana.

"Mengapa perlu berada dalam situasi sekarang dengan kita terus mempersoalkan sama ada kita perlu bersama dengan PAS atau tidak?

"Kita perlu berfikir sebagai satu pasukan," katanya kepada Malaysiakini .

Fahami majoriti kehendak rakyat

Semalam Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin meminta Azmin yang juga Menteri Besar Selangor supaya "berpijak pada realiti semasa" di negeri itu dan tidak mengelak daripada membincangkan format baru gagasan politik.

Kata Shazni Munir pendekatan Azmin ketika ini dilihat seperti suatu eskapisme dan ia hanya menyebabkan orang ramai berasa sangsi kepada ketulusan politik ADUN Bukit Antarabangsa itu.

"Azmin juga memerlukan sokongan parti lain untuk menyelesaikan beberapa perkara yang membayangi pentadbiran beliau sehingga kini.

"Dalam kemelut polisi yang tidak disudahkan dengan baik oleh beliau, Azmin memerlukan kawan yang boleh membantu, bukan meramaikan seteru," katanya.

Terdahulu beberapa pimpinan tertinggi AMANAH mengadakan pertemuan dengan Azmin di pejabatnya namun pertemuan itu disifatkan hanya sekadar "kunjungan hormat" .

Menurut Dr Afif, pendekatan inklusif juga diambil oleh ramai pemimpin parti dan sudah ditegaskan oleh bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita perlu faham majoriti rakyat tidak pedulikan perbezaan dalaman kita. Justeru adalah baik untuk semua pihak - walaupun sesiapa asalkan komited kepada reformasi - bersatu menyertai gerakan perubahan ini," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS