Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegubard’ kini sah bukan lagi anggota PKR selepas keputusan rasmi mengenai pemecatan beliau dikeluarkan pada 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Chegubard mempunyai masa selama 14 hari bagi membuat rayuan ekoran pemecatan itu.

“Sebenarnya sudah ada keputusan rasmi (mengenai pemecatan Chegubard) selepas Biro Politik PKR dimaklumkan pada 23 Ogos. (Bagaimanapun) saya yang terlepas pandang.

“Pada masa sama surat pemecatan diminta dihantar kepada Chegubard dan beliau mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu,” kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan PKR belum memutuskan memecat Chegubard kerana didakwa melanggar disiplin parti itu dan menunggu keputusan Majlis Pimpinan Pusat.

Reaksi balas Syed Ibrahim itu dibuat selepas akhbar Berita Harian melaporkan Chegubard telah dipecat PKR secara rasmi.

Susulan pemecatan tersebut Chegubard yang juga penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dilucutkan semua jawatan yang dipegang beliau serta dilarang sama sekali menjalankan aktiviti atas nama PKR.

Malah, akhbar tersebut juga mendakwa surat pemecatan bertarikh 26 Ogos 2016 itu dikeluarkan ibu pejabat parti dengan ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Lapor akhbar tersebut Jawatankuasa Lembaga Disiplin PKR yang bermesyuarat pada 4 Ogos membuat keputusan tersebut mengikut Fasal 41.7 perlembagaan parti kerana menjejaskan imej dan memecah-belahkan parti serta ingkar arahan parti.

Chegubard sebelum ini dilihat agresif mendedahkan kononnya terdapat salah laku dalam kerajaan Selangor pimpinan menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Malah, Chegubard difahamkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai salah laku Azmin hari ini.

Laporan tersebut berhubung kontroversi penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah Wetlands, Selangor.

Chegubard mendakwa kerajaan negeri pimpinan Azmin memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat.

Lihat Komen
ADS