Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar 'tak sabar' nak jumpa SPRM
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 11:37 AM
Dikemaskini: 5:26 AM

Tan Sri Annuar Musa memulakan penerbangan pulangnya ke Malaysia dengan bertakbir dan membaca doa menaiki kenderaan dari Auckland kira-kira jam 9 pagi (waktu Malaysia) tadi.

Dan perkara pertama yang ingin beliau lakukan sebaik tiba di Malaysia ialah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

"Saya berwajib memberikan kerjasama dan saya harus menghormati tugas mereka," katanya pada kemas kini status 13 jam sebelum itu.

Perjalanan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH130 itu dianggarkan mengambil masa 11 jam.

Bagaimanapun dirasakan pejabat SPRM bukanlah tempat pertama yang akan dikunjungi pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang digantung tugas itu.

Hal itu kerana beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 8.30 malam - iaitu selepas waktu pejabat kerajaan berakhir.

Namun dipercayai Annuar akan memulakan paginya dengan mengunjungi pejabat agensi antirasuah berkenaan.

"Perkara pertama ingin saya lakukan ialah untuk awal-awal pagi saya ke SPRM untuk diri saya di siasat," katanya.

Annuar sedang berada di New Zealand menjalankan tugas rasmi mewakili MARA apabila anggota majlis agensi kerajaan itu bermesyuarat dan memutuskan untuk menggantung tugas beliau pada 31 Januari lalu.

Keputusan itu diambil tanpa pengetahuan menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal MARA, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tuju SPRM dulu

Ismail yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah kemudian mengesahkan anggota Majlis MARA mempunyai kuasa menggantung tugas pegawai agensi terbabit.

Keputusan berkenaan diambil ada kaitan dengan isu anak syarikat MARA menaja skuad bola sepak Kelantan.

Annuar berkata beliau tidak tahu menahu mengenai mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur itu. Bagaimanapun, selepas dimaklumkan keputusan mengenainya, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertanggungjawab.

Bekas menteri kemajuan luar bandar antara 1993 hingga 1995 itu kemudian menyingkatkan lawatan rasmi berkenaan ekoran keputusan MARA itu.

SPRM pada hari sama mengeluarkan kenyataan, mereka membuka satu kertas siasatan terhadap Annuar.

"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

"Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA," kata kenyataan tersebut.

Selain anggota parlimen Ketereh dan ketua penerangan Umno, Annuar juga adalah bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sementara itu Annuar berkata, beliau menghargai kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, dan setiausaha agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menjelaskan kedudukannya sebagai ketua penerangan.

"Saya ada pandangan sendiri mengenainya (kedudukan jawatan ketua penerangan Umno) dan insya-Allah akan cuba bertemu presiden.

"Buat masa ini SPRM first (dulu), insya-Allah," katanya.

Lihat Komen
ADS