Paling Popular
Terkini

Ketua Polis Negara mengesahkan lelaki yang dibunuh dengan racun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu ialah Kim Jong-nam.

Bagaimanapun, Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan bagaimana pengesahan itu dibuat.

"Polis memenuhi keperluan undang-undang bagi mengesahkan identiti lelaki terbabit.

"Saya tidak akan menerangkan kepada anda bagaimana kami melakukannya atas faktor keselamatan saksi," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya ingin nyatakan kepada anda, mayat lelaki yang dikenali sebagai Kim Chol ialah Jong-nam," katanya lagi.

Beliau merujuk kepada dokumen perjalanan Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol ketika dia meninggal dunia.

Jong-nam adalah abang ipar pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Khalid juga enggan menyatakan sama ada sampel DNA diperoleh pihak berkuasa bagi tujuan pengesahan identiti Jong-nam.

Ditanya media lebih lanjut mengenai bagaimana pengesahan dapat dibuat jika tanpa sampel DNA, Khalid menegaskan, ia adalah tugas pihak polis.

"Itu tugas kami, bukan tugas kamu. Kami tidak akan beritahu kamu," katanya.

Mengenai motif pembunuhan Jong-nam pula, Khalid juga enggan memberi komen lanjut dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.

Dua wanita - masing-masing warga Vietnam dan Indonesia - dituduh membunuh Jong-nam dengan menyapu bahan kimia dikenali sebagai VX pada muka lelaki terbabit.

Serangan itu berlaku ketika Jong-nam menunggu giliran untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Sebelum ini memang diketahui mangsa serangan itu ialah Jong-nam tetapi pengesahan rasmi tidak dibuat kerana Kementerian Kesihatan belum menerima sampel DNA yang membolehkan proses berkenaan dilakukan.

Khalid juga memberitahu, mengikut undang-undang mayat itu hanya akan diserahkan kepada waris sah.

"Mayat itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (untuk urusan selanjutnya)," kata beliau.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS