Majlis Hi-Tea Kementerian Belia dan Sukan bersama Potensi Penaja bagi pelaksanaan Malaysia Sports Challenge 2019
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui inisiatif terbaharu akan melaksanakan Malaysia Sport Challenge 2019 (MySC’19). Pada hari ini, satu Majlis Hi-Tea Menteri Belia Dan Sukan bersama Potential Sponsors bagi pelaksanaan MySC’19 telah diadakan di Stadium Nasional, Foyer Suite, Kuala Lumpur Sport City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Secara umumnya, pelaksanaan MySC’19 ini telah mengambil kira hasil dapatan Kajian Hari Sukan Negara 2018 yang telah dilaksanakan oleh IYRES antara lainnya mengesyorkan supaya memanjangkan tempoh penganjuran iaitu selama 31 hari sepanjang bulan Oktober 2019. Perubahan ini juga termasuk mendapatkan lebih banyak liputan daripada pihak media, penaja dan masyarakat.
Justeru itu, sesi perjumpaan hari ini ialah bagi memperkenalkan program nasional di bawah kendalian KBS iaitu MySC’19 kepada semua badan dan syarikat swasta dan korporat bagi menggalakkan kaedah perkongsian pintar antara KBS, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan sukan dengan pihak swasta dan korporat terutamanya dalam bentuk tajaan dan penganjuran acara. Tajaan yang diperlukan adalah berbentuk tajaan pelaksanaan program, barangan dan wang tunai. Tajaan daripada aspek barangan dan wang tunai amat diperlukan bagi menggalakkan pertumbuhan industri sukan yang boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi secara khususnya. Manakala, pihak syarikat-syarikat juga boleh menyalurkan tajaan menerusi pelaksanaan program bagi menyemarakkan lagi semangat kesukanan yang merupakan salah satu elemen perpaduan. Majlis Hi-Tea ini juga dilihat dapat menyemarakkan lagi sinergi bersama di antara pihak kerajaan dan syarikat swasta dan korporat dan boleh membentuk platform pemasaran yang diiktiraf dan semakin popular untuk memasarkan identiti korporat masing-masing.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Kiong, beliau berharap agar semua pihak yang hadir mengambil bahagian secara aktif melalui penyaluran penajaan. Peranan syarikat swasta dan korporat dilihat dapat berkerjasama dengan kerajaan dalam memastikan pembangunan sukan massa dibangunkan secara bersama.

