ULASAN l Undang-undang dua darjat
ULASAN l Sepanjang pengalaman saya menjadi wartawan dan pengarang, sejak 1969, tindakan undang-undang ke atas fitnah bertulis (libel) dan fitnah mulut (slander) hanya dibuat apabila sesuatu kenyataan fitnah itu telah dicetak atau diucapkan.
Adalah amalan biasa bagi wartawan dan saluran berita meminta ulasan pihak-pihak yang bakal disebutkan dalam sesuatu laporan, khususnya mengenai hal-hal sensitif.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/4c3a34a53ed5db64fbce72fc9027d95c.jpg)
Selalunya, atas dasar ketelusan (transparency) dan menghormati kebebasan bersuara (freedom of speech), pihak-pihak yang disebut itu akan memberi reaksi segera atau menunggu hingga berita berkenaan disiarkan. Kalau mereka tidak bersetuju atau ada apa-apa yang hendak diperjelaskan, mereka boleh meminta saluran berita terbabit menyiarkan kenyataan balas mereka.
Dalam kewartawanan, amalan ini disebut hak menjawab atau membalas (right of reply).
Right of reply ini, jika diamalkan, akan meringankan beban libel dan slander ke atas penulis dan saluran berita. Hari ini, dengan komunikasi digital, hak menjawab sudah menjadi sejagat (universal).
Boleh kata semua saluran media, sama ada arus perdana atau sosial, menyediakan ruangan komen atau balasan.
Jadi, dalam keadaan biasa, tindakan ke atas perbuatan fitnah hanya diambil apabila proses bertamadun ini telah dipenuhi.
Sepanjang ingatan dan pengalaman saya, media massa tidak pernah diseret ke mahkamah dan dihukum kerana laporan yang belum disiarkan.
Kejadian di mana kerajaan atau pihak berkuasa lain menyekat atau tidak menggalakkan penyiran sesuatu maklumat ada berlaku. Tetapi, seorang individual meminta mahkamah menyekat atau pengharamkan sesuatu laporan daripada disiarkan jarang kedengaran.

Tetapi itulah yang berlaku pada 2 November apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi oleh ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menghalang agensi berita Bloomberg News menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.
Secara ringkas, Bloomberg telah menulis sebuah berita mengenai orang kanan Perdana Menteri tersebut. Sebagai amalan biasa, ia memaklumkan kepada Farhash mengenai laporan itu.
Menurut peguam Farhash, anak guaman mereka telah menerima komunikasi daripada Bloomberg News berhubung hasrat mereka menerbitkan artikel yang, pada pandangan Farhash mengandungi kenyataan serta dakwaan yang tidak benar dan berunsur fitnah.
Susulan itu, Hakim Kan Weng Hin membenarkan permohonan injunksi yang menghalang Bloomberg News dan semua pihak daripada menerbitkan, menerbitkan semula, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan serta dakwaan berunsur fitnah terhadap pemain korporat tersebut.
Lantas ada pihak membuat kenyataan mengatakan kandungan pendedahan (expose) Bloomberg itu tidak akan diketahui lagi.
Rasanya tidak macam itu. Bloomberg akan lawan injunksi Farhash itu, dan fakta yang dikatakan palsu dan berunsur fitnah itu akan dibentangkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/39986cbbac39db0500b5f3f93f8bea1f.jpg)
Laporan media mengatakan, pada 16 November ini, pendengaran pelbagai pihak telah dijadualkan di mana pasukan peguam Farhash dan Bloomberg akan berhujah, antaranya, bagi memastikan jika pengharaman oleh Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin itu kekal.
Sebagai latar belakang, ramai orang sudah tahu yang Farhash sangat akrab dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan instrumental dalam keperdanamenterian beliau.
Ramai orang pun tahu juga yang masa Najib Razak jadi perdana menteri, beliau ancam saman Wall Street Journal (WSJ) pasal dedah skandal 1MDB.
Itulah tabiat orang besar-besar, orang kenamaan dan orang berduit di negara kita. Mereka guna undang-undang dengan mengupah peguam untuk melindungi mereka dan menghukum penentang mereka.
/file/1156/238c451abf61bc37b194ca3856daded8.jpeg)
Misalnya, dalam kes SRC International, Najib dibela oleh 12 orang peguam tersohor dan ternama, manakala dalam kes salah guna kuasa dan sodomi pertama, Anwar dibela oleh sembilan peguam utama dan lebih 20 peguam sokongan.
Menurut kenyataan Majlis Peguam Malaysia, kajian menunjukkan 80 hingga 95 peratus tertuduh di negara kita tidak diwakili secukupnya oleh peguam. Demikianlah dunia dua darjat.
A KADIR JASIN bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk yang sama. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/02/fce6d24e4209e81e8a9a243ca87d9138.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.