Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menganjurkan program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor pada 9 dan 10 November 2019. Majlis perasmian program pada 10 November 2019 disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson.

Objektif program ini adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli-ahli peladang dan penduduk setempat bersama pemimpin di peringkat akar umbi, pemberian sumbangan bantuan kepada ahli-ahli Peladang dan seterusnya menyampaikan informasi dasar-dasar Kerajaan dalam misi mentransformasikan sektor pertanian sebagai penyumbang penting ekonomi negara.

Pengisian program Jalinan Mesra Peladang 2019 yang bermula pada Sabtu (9 November) adalah pameran dan jualan produk makanan jenama Peladang, jualan murah ayam Peladang, jualan input pertanian, benih tanaman, jualan produk Qfish dan lain-lain jualan produk pertanian dan industri asas tani yang disertai kira-kira 70 peniaga.

Turut diadakan pada sebelah malam tadi, ceramah agama - Forum Perdana 2019 yang bertemakan Maulidur Rasul Inspirasi Agroekonomi Ummah anjuran bersama Maahad Tahfiz Tijarah Selayang.

Program ini mendapat kerjasama dari agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan pameran, jualan serta kaunter khidmat pelanggan antaranya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Perniagaan & Keusahawanan Selangor, Persatuan Pengurusan Usahawan Islam & Acara Majlis dan Yayasan Ikhlas.

NAFAS menyerahkan sumbangan zakat kepada seramai 450 asnaf peladang dari 9 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Selangor iaitu PPK Gombak/Petaling, Hulu Selangor, Hulu Langat, Dengkil, Beranang, Klang, Kuala Langat, Batu Laut dan Sepang. Turut disampaikan sumbangan pendidikan kepada 18 mahasiswa – anak-anak ahli peladang yang mendapat keputusan cemerlang, 3.50 CGPA dan ke atas bagi peringkat diploma dan ijazah di IPTA dan IPTS.

Penyerahan zakat ini merupakan sebahagian daripada wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada asnaf Peladang di negeri Selangor yang menerima wang tunai RM200 setiap seorang dengan nilai peruntukan RM90,000.00. Manakala bagi biasiswa pendidikan pula, menerima RM1,000, setiap seorang.

Penyampaian sumbangan zakat ini diadakan bagi membuktikan komitmen NAFAS dalam memastikan setiap keuntungan dari aktiviti perniagaan NAFAS dikongsi bersama ahli Peladang serta ahli keluarga mereka.

Adalah diharap dengan sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban perbelanjaan ahli-ahli Peladang dalam kehidupan seharian mereka selain memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak Peladang untuk terus berjaya dalam pembelajaran mereka.