MNRB Holdings Berhad (MNRB) telah menyumbang RM200,000.00 kepada Dana Pandemik COVID-19 untuk menyokong Pelan Persediaan Strategik dan Pelan Maklumbalas yang dilancarkan oleh MERCY Malaysia atau Medical Relief Society Malaysia baru-baru ini. Jumlah ini merupakan sumbangan amal bagi pihak peserta Takaful Ikhlas General iaitu anak syarikat milik MNRB. 

Dana ini akan disalurkan untuk menaja satu unit ventilator yang kini sangat diperlukan di hospital-hospital sejak berlakunya penularan COVID-19. "Kami faham betapa pentingnya alat bantuan pernafasan atau ventilator ini bagi membantu para pesakit di saat kritikal. Dengan sumbangan kecil ini, semoga ianya dapat memberi harapan kepada pesakit yang amat memerlukannya," kata Mohd Din Merican, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB. 

Sumbangan MNRB juga akan turut digunakan untuk membekalkan barangan keperluan serta kit-kit penjagaan kebersihan untuk para petugas perubatan barisan hadapan dan kakitangan sokongan yang bertugas di pusat operasi COVID-19. Barangan keperluan tersebut adalah seperti cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), sabun tangan, termometer tanpa sentuh dan kit-kit penjagaan kebersihan diri. 

“Kami amat berterima kasih kepada para petugas perubatan barisan hadapan di atas dedikasi dan pengorbanan mereka yang berterusan dalam memerangi COVID-19. Kami juga berharap agar sumbangan barangan keperluan ini akan dapat memberi manfaat dan membantu mereka sepanjang tempoh kritikal ini”, tambah Mohd Din. 

Ir. Amran Mahzan, Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia, menzahirkan rasa terima kasih kepada MNRB atas keprihatinan yang diambil semasa krisis nasional ini. “COVID-19 merupakan bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan sektor penjagaan kesihatan kita kini beroperasi pada peringkat maksima. Sebagai sebuah organisasi bantuan perubatan dengan rekod prestasi yang baik selama 20 tahun dalam Pengurusan Risiko Bencana Secara Menyeluruh, kami dengan sukarela membantu Pusat Tindak Balas & Pencegahan Krisis dan Kementerian Kesihatan dalam memerangi COVID-19”. 

Kumpulan MNRB juga telah memperuntukkan dana tambahan untuk membantu menangani pandemic ini. Dana tambahan ini akan disalurkan melalui anak syarikat reinsurans dan takaful MNRB melalui persatuan masing-masing.

“Adalah penting untuk kita semua berganding bahu dan melakukan tanggungjawab masing-masing dalam saat yang getir ini bagi membantu kerajaan membendung wabak COVID-19. Kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang telah disarankan oleh kerajaan dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), "tambah Mohd Din. 

Dalam usaha menyokong PKP, Takaful IKHLAS menyarankan para pelanggan memperbaharui sijil takaful motor dan bukan motor mereka melalui www.takaful-ikhlas.com.my.