McDonald's Malaysia hargai petugas barisan hadapan COVID-19
McDonald's Malaysia mengambil inisiatif dalam usaha memberikan sokongan dan bantuan kepada tugas barisan hadapan melalui penajaan makanan untuk kira-kira 50 hospital di seluruh negara. Tajaan makanan ini secara langsung memberi manfaat kepada lebih 63,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara, termasuk petugas kesihatan, anggota polis dan tentera.

“Usaha sumbangan dan penajaan makanan bukanlah sesuatu yang baru bagi McDonald's Malaysia. Kami sudah sememangnya giat dalam usaha mendalami pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan komuniti. Walaupun Ramadhan kali ini sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelum, kami tetap ingin meneruskan usaha ini.” kata Melati Abdul Hai, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald's Malaysia.
McDonald’s Malaysia merupakan antara organisasi yang terawal dalam menyumbang kepada petugas barisan hadapan iaitu sejak 11 Mac 2020 sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).
“Menyumbang kepada komuniti di sekitar lokasi kami beroperasi adalah sebahagian daripada nilai teras McDonald’s Malaysia sejak dulu lagi. Tahun ini, sempena keberkatan bulan yang mulia ini, kami teruskan sumbangan makanan kepada 50 hospital melalui sumbangan 63,000 set makanan kepada pekerja-pekerja hospital untuk berbuka puasa.” tambah Melati.
Tanggungjawab sosial korporat yang diadakan oleh McDonald’s Malaysia ini turut meningkatkan semangat pekerjanya, Puan Rogayah, Pengurus Besar Restoran McDonald’s cawangan Titiwangsa, dalam membantu petugas barisan hadapan.

“Untuk Ramadhan ini, kami menyediakan 100 set hidangan, setiap hari Isnin kami akan hantarkan kepada petugas-petugas di Hospital Kuala Lumpur. Alhamdulillah, saya mendapat peluang untuk berjasa kepada mereka yang bekerja keras. Insyaallah kita boleh melawan Covid-19 bersama-sama.” kata Rogayah.
Pihak Hospital Kuala Lumpur juga menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia dalam menaja sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan.

“Sumbangan dari McDonald’s Malaysia ini amatlah membantu dalam mengurangkan bebanan petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur kerana kebanyakan pekerja memakai Personal Protective Equipment (PPE) pada setiap masa, jadi amat sukar bagi mereka mendapatkan juadah (makanan) untuk berbuka.” kata Tuan Haji Ridzoni Sulaiman, Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian HKL.
Melati juga memberi pengiktirafan kepada pasukan restoran yang bertugas di lapangan sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).
"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pasukan McDonald’s di semua restoran di seluruh negara. Tidak dilupa juga penunggang McDelivery yang gigih bekerja memastikan pelanggan dapat terus menikmati hidangan McDonald’s kegemaran mereka," tambah Melati.
McDonald's Malaysia juga telah memulakan kempen mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu padu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (MCO). Konsep #KitaBoleh dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia di platform media sosial mereka bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan perjuangan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
#KitaBoleh juga secara langsung mengetengahkan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus bekerja ketika rakyat Malaysia duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

