Ambang merdeka pada tahun ini ternyata disambut dengan norma baharu dengan situasi pandemik COVID-19 yang melanda kini, mengambil langkah yang dapat membawa masyarakat untuk terus menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan setiap lazimnya, Kementerian Komunikasi & Multimedia menerusi Jabatan Penerangan bertindak menganjurkan sambutan ambang merdeka yang dijenamakan ‘PENTARAMA LIVE JAM’ disiarkan secara langsung di atas talian melalui laman Facebook PENTARAMA Putrajaya.
Sambutan ambang merdeka ini istimewa kerana kelainan yang ditampil berbanding tahun-tahun lalu oleh Jabatan Penerangan menyaksikan persembahan artis dan pemuzik PENTARAMA menonjolkan bakat mereka dengan lebih terserlah. Program ini adalah anjuran edisi ke-4 dimana 3 buah edisi sebelumnya telah pun bersiaran sejak 11 Julai 2020 yang lalu sepanjang Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.

Menurut YBrs. Tuan Haji Hashim Haji Bedu, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, “Program ini sememangnya sudah direncanakan pada awal tahun 2020 sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, ianya membuka peluang terhad kepada kami untuk melaksanakan acara ini pada skala yang besar tetapi dengan adanya teknologi canggih pada hari ini, kami yakin siaran secara atas talian adalah lebih menarik apabila pengisiannya yang menepati slogan ‘Hiburan Maya Berinformasi’.
Tujuan utamanya adalah untuk menyantuni lapisan masyarakat dengan hiburan nyanyian, tarian, perkongsian mesej, dasar dan kempen-kempen kerajaan serta paparan aktiviti-aktiviti yang sedang atau akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia sepanjang Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.”
Sambutan ambang merdeka “PENTARAMA LIVE JAM” telah bersiaran pada tepat jam 10.30 malam di laman akaun Facebook dan juga disaksikan di Dewan oleh mahasiswa-mahasiswi UiTM Kampus Dengkil dan IKBN Sepang. Suasana pada malam ambang merdeka di dalam dewan tampil meriah dengan sorakan penonton apabila lagu-lagu Patriotik dan popular dinyanyikan oleh artis-artis PENTARAMA.

Tidak ketinggalan dalam mengadakan persembahan, penyanyi lagu-lagu patriotik yang popular dengan lagu “Sejahtera Malaysia”, Roy, turut menyampaikan sebuah lagu untuk menyemarakkan lagi sambutan ambang merdeka ini di atas pentas yang gah dengan LED skrin yang memaparkan pelbagai momen-momen kemerdekaan sebelum ini. Pemenang tempat ke-2 bagi pertandingan Cabaran Nyanyian Lagu Patriotik di aplikasi Smule, Rosiah Baharuddin turut diberi penghormatan untuk menyanyikan sebuah lagu patriotik tatkala pemenang tempat pertama dan ketiga tidak dapat hadir untuk bersama-sama dalam acara ini.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan oleh artis-artis PENTARAMA adalah Standing in The Eyes of The World, 7 Nasihat, Maimunah, Tanggal 31 Ogos, Jalur Gemilang, Sejahtera Malaysia, Negaraku, Saya Anak Malaysia, Kita Punya Malaysia dan beberapa seleksi lagu berbahasa Mandarin, Tamil serta lagu-lagu rakyat Negeri Sabah dan Sarawak. Yang menariknya, acara ini turut menyelitkan bacaan sayembara puisi yang disampaikan dengan penglibatan 6 orang mahasiswa-mahasiswi UiTM Kampus Dengkil.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan program seumpama ini, YBrs. Tuan Haji Hashim Haji Bedu berkata, “Cabaran paling besar adalah dari segi masa dan untuk melaksanakan koordinasi latihan serta persiapan kerana acara ini melibatkan sebanyak lebih 20 buah lagu, persembahan tarian dan juga persembahan puisi merdeka di mana ia mengambil masa hampir 14 hari sahaja tempoh latihan dan persiapan diberikan sebelum acara ini dapat dilaksanakan seperti yang kita tonton. Program ini juga merupakan julung kali diadakan dalam suasana norma baharu tahun ini yang melibatkan jumlah penonton jemputan khas yang minima berbanding tahun-tahun lalu.”
Mengulas mengenai pemilihan artis yang membarisi sambutan ambang merdeka ini, YBrs. Tuan Haji Hashim Haji Bedu menjelaskan, “Kesemua artis dan pemuzik yang terlibat pada malam ini adalah warga PENTARAMA dimana mereka semua ini diambil secara kontrak dan kita telah saksikan bakat mereka begitu menyerlah serta memukau. Mereka ini berkebolehan menyanyi, menari dan berlakon dalam pada masa yang sama. Kita sedia maklum, Roy adalah penyanyi yang simbolik dengan lagu-lagu patriotik, maka pemilihan beliau sebagai artis jemputan adalah tepat dengan acara ini memandangkan beliau adalah penyanyi yang mempunyai lagu-lagu patriotik malar segar.”

Seramai lebih 85 orang petugas telah terlibat dalam menjayakan Program PENTARAMA Live Jam Edisi Ambang Merdeka. Dengan pelaksanaan acara berskala sedarhana ini dalam suasana norma baharu, ternyata ianya tidak melunturkan semangat petugas-petugas untuk terus menghasilkan produksi yang jelas bermutu dan bertaraf terbaik apabila video-video selingan yang memaparkan temubual bersama ikon yang berjaya dalam bidang mereka antaranya Farah Ann, atlit gimnas negara, beberapa video temuramah ikon lain turut ditayangkan.
Fakta menarik mengenai sambutan ambang merdeka PENTARAMA LIVE JAM ini apabila kesemua petugas produksi yang menjayakan program ini adalah warga kerja PENTARAMA dan Jabatan Penerangan Malaysia sendiri tanpa menggunakan khidmat pengendaian majlis dari luar. Ini jelas membuktikan warga kerja PENTARAMA dan Jabatan Penerangan Malaysia amat bekebolehan dalam menghasilkan produksi gah seumpama ini.

Untuk mereka yang terlepas dengan acara sambutan ambang merdeka PENTARAMA LIVE JAM ini, mereka boleh menyaksikan video ulangan di laman akaun Facebook PENTARAMA Putrajaya. Edisi ke-5 bakal ke udara pada 15hb September 2020 bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16hb September 2020 akan datang di laman akaun Facebook PENTARAMA Putrajaya, @pentarama.putrajaya / https://www.facebook.com/pentarama.putrajaya dan juga di laman akaun Facebook Jabatan Penerangan Malaysia, https://www.facebook.com/penerangan.
