Bermodal RM200 Dahulu, Kini Bina Empayar Kimchi Halal Atas Talian
Pekerjaan saya sebagai juruteknik makmal terlalu sunyi sehingga saya mula berbual dengan mikrob. Apa yang saya takuti ialah suatu hari nanti bakteria akan membalas perbualan saya,” kata bekas ahli mikrobiologi Yana Azmi Tan, 35, yang kini memiliki empayar Kimchi atas talian yang semakin berkembang.
Perjalanannya sebagai seorang usahawan bermula sebagai hobi untuk mengalih perhatiannya daripada kerjaya memeriksa mikrob yang digambarkan sebagai pekerjaan yang membuatkannya berasa sunyi.
“Interaksi saya dengan manusia lain amat terhad. Pekerjaan saya amat sunyi. Saya bekerja bersendirian di makmal. Setiap hari saya akan menerima sampel bakteria daripada penyalur vakum, kemudian saya mengkaji bakteria tersebut dan menghantar hasil kajian melalui penyalur vakum juga,” katanya.
Oleh itu, Yana menjadikan penghasilan Kimchi sebagai hobi, dengan berpandukan YouTuber Korea yang popular seperti Maangchi dan Seonkyoung Longest.

“Keluarga saya menggemari Kimchi. Jadi, saya selalu membuatnya. Setiap kali saya membuat Kimchi, saya akan menyiarkannya di media sosial," katanya.
Beliau menambah bahawa rakan-rakannya tertarik dengan gambar yang dimuat naik dan meminta untuk membelinya.
Memandangkan mereka menyukai rasa hidangan tersebut, keluarga dan rakan-rakan Yana mencadangkan agar beliau menjadikan pembuatan Kimchi sebagai satu perniagaan rasmi.
Kurang yakin dengan kemampuannya untuk menjual ketika itu, Yana mengambil keputusan untuk bermula secara kecil-kecilan, menjadikannya pekerjaan sambilan atau side hustle, dan menerima pesanan daripada rakan kepada rakannya di media sosial.
"Saya terasa tidak mempunyai kemahiran untuk menjual. Saya dilatih sebagai seorang juruteknik makmal dan satu-satunya bentuk interaksi saya di tempat kerja setiap hari adalah dengan mikrob. Namun, saya bersedia mencuba nasib dengan usaha ini kerana saya melihat bahawa terdapat permintaan bagi makanan Korea Halal. Rakan-rakan saya menolong saya mendapatkan pesanan daripada kawan-kawan mereka.
“Jadi, saya memulakan pekerjaan sambilan saya dengan modal RM200. Saya menggunakan wang itu untuk membeli hanya tiga biji kubis dan bahan untuk membuat kimchi yang lain seperti serbuk cili, sos ikan, tepung beras dan garam,” tambahnya.
Apabila permintaan meningkat, Yana mula mengambil perniagaan tersebut secara serius dan mengambil keputusan untuk berhenti daripada pekerjaan makmal yang tidak digemarinya.
Yani mengambil kursus fermentasi makanan dan kemudiannya telah pergi ke Korea untuk mempelajari teknik pembuatan Kimchi dan sos Korea yang betul.
Yana juga mula mencari kepada pembekal-pembekal besar. Ini kerana, beliau tidak dapat lagi melestarikan perniagaannya dengan kos membeli bahan-bahan mentah dari pasar raya memandangkan perniagaannya semakin berkembang.
"Makanan Korea mempunyai rasa yang tersendiri dan rasa itu datang daripada bahan-bahan yang dihasilkan di Korea. Sebagai contoh, sos ikan Korea yang banyak digunakan dalam pembuatan Kimchi dan sos Korea lebih mempunyai aroma buah berbanding dengan sos ikan Thai yang baunya lebih menyengat. Contoh yang lain ialah Gochugaru (serpih lada merah Korea). Rasanya lebih manis dan mempunyai warna merah yang lebih terang berbanding serpih cili lain yang banyak terdapat di Malaysia,” ujar Yana.
Secara keseluruhannya, Yana mengambil masa sekitar setahun untuk mengembangkan rangkaian produk makanan Korea Halal yang dijenamakan sebagai Got Kimchi? di bawah entiti perniagaan berdaftar Got Kimchi Enterprise.
Setelah Got Kimchi? dilancarkan di Facebook dan Instagram, banyak pesanan mula diterimanya.
“Keadaan agak sukar untuk dikendalikan dengan sebuah pasukan yang kecil kerana tingkah laku pelanggan di media sosial adalah unik. Kami perlu membalas beberapa perbualan dan permintaan Pesanan Langsung (DM) hanya untuk mendapat satu jualan. Ini menelan masa yang agak banyak dan saya hanya mempunyai dua orang pekerja sepenuh masa dan empat orang pekerja sambilan yang perlu mengendalikan ratusan pesanan setiap hari,” katanya.
Yana kemudiannya meneroka platform-platform e-dagang.
Shopee menjadi platform pilihannya "kerana membuka kedai maya di Shopee adalah sekurang-kurangnya lima kali lebih mudah berbanding platform lain."
Beliau berkata bahawa daripada perspektif seorang usahawan, antara muka atau interface Shopee sangat mudah digunakan. "Proses dan langkah-langkahnya mudah bagi saya untuk mendirikan kedai, memuat naik produk saya ke dalam kedai dan terus mula menjual”.
Berbanding dengan menjual di Facebook dan Instagram, para pembeli saluran e-dagang lebih berdikari kerana sistem e-dagang yang lebih intuitif.
Para pelanggan yang mengunjungi kedai rasmi Got Kimchi? akan membuat pembelian jika mereka menyukai penerangan produk dan membaca ulasan yang baik, ujarnya.

“Namun, terdapat juga beberapa pesaing yang menjual produk serupa di platform tersebut. Untuk menarik pelanggan ke kedai kami, kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mempromosikan kedai dan produk kami secara atas talian, mendapatkan seberapa banyak ulasan pelanggan yang boleh dan memastikan kedai kami kelihatan menarik dan informatif dengan video dan visual berkualiti tinggi," tambah Yana.
Kedai Shopee rasmi Got Kimchi? mendapat pengiktirafan "Preferred Seller" setelah memenuhi kriteria prestasi Shopee yang menilai jumlah pengikut kedai, pesanan bersih, ketulenan produk, kelajuan bertindak balas dan mengekalkan penilaian kedai sekurang-kurangnya 4.7 bintang daripada 5 bintang.
Status Preferred Seller ini memberikannya akses kepada Pengurus Perhubungan atau Pengurus Akaun. “Pengurus Perhubungan kami membimbing kami dengan lebih lagi tentang cara mengembangkan perniagaan saya di Shopee,” kata Yana.
Setelah tiga tahun, kedai Shopee miliknya kini mempunyai lebih daripada 35,100 pengikut dan mengekalkan penilaian pada purata 4.9 bintang secara konsisten daripada lebih 27,900 pelanggan.
Pada hari biasa di platform ketika tiada kempen khas sedang berlangsung, Yana mendapat sekitar 100 pesanan setiap hari. Namun, jualannya akan meningkat setiap kali beliau mengambil bahagian dalam "hari penghantaran percuma" semasa kempen dua digit setiap bulan.
"Semasa Shopee 6.6 Jualan Hebat pada 6 Jun, jualan harian kami meningkat daripada 100 pesanan kepada 1,100," katanya, sambil menambah bahawa mereka berusaha untuk menyediakan 5,000 hingga 6,000 setiap masa untuk memastikan setiap pesanan pelanggan dapat dipenuhi dengan dengan pantas.
Perniagaannya berkembang sehingga dapur rumahnya tidak dapat menampung kapasiti pengeluarannya. Oleh itu, dengan keuntungan yang diperolehi daripada menjual di Shopee, beliau melabur RM55,000 untuk membina sebuah bengkel Makanan Korea seluas 1,000 kaki persegi bersebelahan dengan rumahnya di Kuala Langat.
Bengkel tersebut dilengkapi dengan dapur pengeluaran, bahagian pembungkusan, dan bahagian penyimpanan dan mampu menyimpan hingga 6,000 produk pada satu masa.
Mengenai formula kejayaannya, beliau berkata, tiada rahsia kejayaan kerana perkara asas bagi sektor peruncitan atas talian ialah mengenali para pelanggan sendiri dan bersikap baik terhadap orang lain.
"Pelanggan-pelanggan saya ingin membuat makanan Korea Halal asli di rumah dan mereka inginkan cara memasak yang mudah. Oleh itu, sebagai seorang usahawan, peranan saya adalah untuk memberi mereka satu penyelesaian untuk membuat makanan Halal yang sedap dan asli di rumah dengan hanya beberapa langkah yang mudah.
"Mereka juga inginkan penghantaran yang pantas. Oleh itu, saya memastikan bahawa kami mempunyai jumlah stok produk yang mencukupi setiap hari," katanya.
Yana juga terlibat dalam setiap proses perniagaan, termasuklah mengawasi proses pengeluaran, merasa produk sehinggalah memenuhi pesanan.
Beliau memulakan harinya pada jam 8 pagi. "Saya akan mengira stok dengan cepat untuk mengenal pasti produk yang perlu ditambah."
Kemudian, beliau memantau dapur pengeluaran. Selepas itu, beliau memeriksa status pemenuhan pesanan dan ini termasuk melayani pertanyaan daripada para pelanggan melalui fungsi chat di aplikasi Shopee, mencetak airway bill dari Shopee Seller Center, membungkus, mengira jumlah produk yang dijual dengan jumlah inventori kedai fizikalnya dan kemudian menguruskan proses pengambilan bungkusan.
“Saya bersyukur kerana mempunyai sokongan daripada dua orang kakitangan sepenuh masa dan empat orang pekerja sambilan yang membantu saya di dapur pengeluaran dan pembungkusan.
“Walaupun keenakan produk amat penting bagi mendapatkan ulasan yang baik daripada para pelanggan, pemenuhan pesanan yang cemerlang juga sama penting untuk berjaya dalam e-dagang. Tiada gunanya menghantar produk yang berkualiti tetapi telah mengalami kerosakan dalam proses pengiriman,” katanya, sambil menambah bahawa semua produknya akan siap dibalut dengan balutan gelembung (bubble wrapped) secara individu semasa dalam proses pembungkusan lagi untuk mempercepatkan proses pengiriman.
Mereka juga melakukan ujian drop test secara rawak pada produk yang dibalut dengan balutan gelembung bagi memastikan bahawa pembungkusan dapat bertahan dalam proses penghantaran.
Sebagai tanda penghargaan kepada pekerja-pekerja syarikat penghantaran yang mengambil produk-produknya setiap hari, Yana dan ayahnya mendirikan sebuah stesen yang menyediakan hidangan alas perut atau refreshment di luar makmal pengeluarannya untuk pekerja syarikat penghantaran sebagai tanda terima kasih dan bagi membina hubungan mesra dengan mereka.
Kini, Yana menggunakan Shopee sebagai platform jualan atas talian utamanya. Beliau juga membekalkan produk-produk masakan Korea ke kafe, pasar mini dan para pemborong.
Namun, perniagaan B2B (business-to-business) Yana terjejas kerana banyak perniagaan pelanggan korporatnya ditutup semasa PKP yang pertama.
"Dengan rahmat Tuhan, hasil jualan atas talian saya meningkat apabila corak pembelian pelanggan beralih ke atas talian.
"Syukurlah, bengkel pengeluaran saya bersebelahan dengan rumah saya dan sektor e-dagang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus. Oleh itu, Alhamdulilah, kami berjaya mengharungi PKP beberapa kali dan Shopee memainkan peranan yang besar dalam kesinambungan perniagaan kami,” katanya.
Yana sedang berusaha sedaya upaya untuk menjana hasil jualan mencecah enam angka setiap bulan kerana beliau ingin melabur semula keuntungannya demi menjadikan Got Kimchi Enterprise sebuah perniagaan yang separa automatik.
Sekiranya anda ingin menikmati makanan Korea Halal yang lazat dan menyokong usahawan tempatan yang memberi inspirasi ini, layari - https://shopee.com.my/got.kimchi.

