KUALA LUMPUR, 20 Mei 2023 - Koperasi Kakitangan PETRONAS (KOPETRO) melalui anak syarikatnya, KOPETRO Retail Sdn. Bhd. telah mengadakan sebuah Majlis Aidilfitri KOPETRO bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyantuni pihak yang sentiasa memastikan keselamatan perniagaan KOPETRO dalam sebuah majlis yang diadakan di Tanjong Lounge, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim, menekankan betapa pentingnya membina kerjasama strategik di antara KOPETRO dan PDRM yang mampu memacu kejayaan buat kedua-dua pihak selain sebagai simbolik sokongan dan komitmen terhadap satu sama lain.

“Ini adalah kali ke 6 KOPETRO mengadakan program seumpama ini bersama PDRM. Kami ingin menzahirkan rasa penghargaan terhadap PDRM yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan kawasan setempat, terutamanya sekitar kawasan kejiranan perniagaan milik KOPETRO seperti stesen-stesen minyak milik KOPETRO Retail, rangkaian pajak gadai ArRahnuKita di Sungai Besi, Bangi dan Ampang, juga hotel Singgah di Kertih dan Pengerang,” ujar beliau dalam ucapannya.
Dalam majlis yang diadakan sempena hari Raya Aidlifitri itu, kira-kira 80 orang tetamu jemputan telah hadir antaranya adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Riduan Khalid, Pegawai Turus Perolehan, Pembangunan & Kewangan Balai Polis Tun H.S. Lee, ASP Loganathan a/l Subramaniam, serta pegawai-pegawai polis daripada Balai Polis Tun H.S. Lee dan Ibu Pejabat Polis Daerah Pudu. Turut menghadiri Majlis Aidilfitri KOPETRO adalah Ketua Keselamatan Kumpulan PETRONAS, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah serta Ketua Pegawai Operasi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, Puan Nazarhanim Binti Mohamad Razak, yang hadir bersama barisan pengurusan koperasi berkenaan, selain wakil-wakil daripada anak syarikat kumpulan PETRONAS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, program ini adalah sebahagian daripada komitmen KOPETRO dalam melunaskan Tanggungjawab Sosial Korporat untuk berbakti kepada orang ramai dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Program seumpama ini akan terus dijalankan oleh KOPETRO untuk menghargai pekerja barisan hadapan seperti PDRM, Bomba dan juga khidmat masyarakat dengan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan keperluan asas kepada masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak lagi.

Ahmad Shakir memberitahu, sebelum ini, KOPETRO pernah menjalankan beberapa program bersama anggota PDRM seperti agihan juadah berbuka puasa kepada anggota Polis Trafik Kuala Lumpur selain sumbangan kepada asnaf yang terdiri daripada golongan balu dan anak-anak yatim Pegawai Polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee pada tahun 2021 dan 2022.
Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS, dan diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award bagi kategori Riadah - Solusi Percutian dan Pelancongan pada tahun 2022. KOPETRO turut merangkul dua anugerah berprestij pada tahun 2020 iaitu anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards dan juga Lang International Corporate Titan Awards – Cooperative Icon of The Year 2020.

Baru-baru ini, KOPETRO melancarkan platform dalam talian yang dikenali sebagai proLindung, yang membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan mereka dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Selain Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.
Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO)
