Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
IWK Eco Park @ Pantai Dalam: Hub sukan dan rekreasi, kini dibuka kepada orang ramai selepas penambahbaikan
Diterbitkan:  May 30, 2023 10:40 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

KUALA LUMPUR: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini merasmikan taman sukan dan rekreasinya, IWK Eco Park @ Pantai Dalam, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.

IWK Eco Park @ Pantai Dalam menawarkan dewan komuniti serbaguna untuk perayaan, majlis dan acara korporat, bilik mesyuarat, kawasan untuk berkelah dan BBQ, trek joging dan berbasikal, serta pelbagai kemudahan sukan termasuk gelanggang badminton, futsal, tenis, sepak takraw dan banyak lagi.

Ia menggabungkan seni landskap dan reka bentuk kejuruteraan yang meliputi kawasan seluas 12 hektar beserta pelbagai kemudahan yang dikelilingi kehijauan alam. IWK Eco Park ini dibina di atas Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang termoden dan terbesar di rantau Asia Pasifik iaitu Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 IWK.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“IWK Eco Park sering menjadi pilihan bagi saya menjalankan apa juga aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat di sini sejak saya memegang amanah sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2018. Ruang ini sesuai untuk semua jenis aktiviti dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada IWK atas segala inisiatif yang telah dan akan dijalankan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam”, kata YB Fahmi Fadzil.

Menurut Narendran Maniam, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, “Pelancaran hari ini menandakan satu peristiwa penting kerana usaha penambahbaikan di taman ini telah hampir siap bagi keselesaaan pengunjung, yang seterusnya dapat merasai pengalaman menarik di sini. Kami turut teruja untuk memaklumkan bahawa taman ini telah pun dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bagi menikmati segala kemudahan yang disediakan.”

Sewaktu penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 dan taman ini kepada IWK pada tahun 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah ditugaskan untuk mengendali dan menguruskan taman ini, manakala IWK diberi fokus kepada operasi dan penyelenggaraan loji . Pada Oktober 2020, DBKL telah menyerahkan kembali pengurusan Eco Park kepada IWK dan ketika itu, negara dilanda pandemik, dan taman ini terpaksa ditutup.

Walaupun tidak dapat beroperasi ketika itu, IWK Eco Park @ Pantai Dalam masih mampu menyumbang dan membantu Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan, dengan menjadikan taman ini sebagai lokasi bagi pusat saringan dan pusat pemberian vaksin COVID-19. Selain itu, dewan serbaguna di sini juga turut dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai salah satu pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum 2022 yang lalu.

“IWK Eco Park @ Pantai Dalam sedia memberikan ruang kepada orang awam, agensi kerajaan, syarikat swasta atau individu untuk berhubung antara satu sama lain, serta dikelilingi dengan alam semula jadi. Kami turut komited dalam menjayakan konsep Malaysia Madani melalui penyediaan tapak perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di sini”, tambah Narendran Maniam.

Untuk maklumat lanjut mengenai IWK Eco Park @ Pantai Dalam atau tempahan bagi kemudahan sukan atau rekreasi, sila layari www.ecopark.iwk.com.my atau hubungi 03-22 420 420.


Sumber: Jabatan Komunikasi Korporat, Indah Water Konsortium Sdn Bhd


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS